Isu ayam: Serba-serbi lambat atau ‘omong kosong’

Pada bulan Mei lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Nege­ri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan, isu kekurangan bekalan ayam akan dapat diselesaikan pada Jun. Pengumuman itu tentunya melegakan rakyat.

Hari ini, empat bulan dari tarikh pengumuman itu, isu ayam timbul lagi. Lebih teruk, telur ayam pun jadi masalah.

Menurut satu laporan, kekurangan bekalan ayam sebenar­nya sudah bermula sejak Oktober 2021, bermakna sudah hampir setahun masalah ini timbul tetapi masih tidak mampu di­selesaikan sepenuhnya. Di mana silapnya?

Antara yang dikenal pasti ialah industri itu dikuasai oleh sekelompok pengusaha gergasi aka kartel yang menentukan semua perkara – daripada anak ayam hingga ke pemasaran.

Apa pula langkah kerajaan? Antara langkah yang diambil ialah memberikan subsidi demi memastikan harga tidak naik, melarang eksport dan dalam masa yang sama membenarkan import.

Pada mulanya, ia nampak berjaya tetapi kini terbukti ia tidak berpanjangan dan bukanlah penyelesaian terbaik. Ter­nyata, kartel bijak memanipulasi keadaan. Apabila eksport disekat, mereka lambakkan bekalan sehingga terlihat isu kekurangan bekalan sudah selesai. Dalam masa yang sama, subsidi tetap dikaut.

Memandangkan bekalan sudah pulih, pada 11 Oktober lalu, kerajaan benarkan semula eksport dan seminggu kemudian bekalan domestik kembali jadi masalah. Rakyat kembali mengeluh, apatah lagi telur ayam pun kini sukar diperoleh.

Alasan kartel, ayam lambat membesar disebabkan makanan yang kurang berkualiti dan dikurangkan jumlahnya sebab mahal. Cuaca panas yang mengakibatkan ayam kurang selera makan dan minum banyak air juga jadi alasan.

Namun, bagi mereka yang di luar kartel ini dan juga pegawai yang terlibat secara langsung dengan mereka, sedar akan permainan ini tetapi tidak banyak yang boleh dilakukan kerana mereka sangat ‘berkuasa’.

Sebenarnya, kerajaan boleh dikatakan lambat bertindak dan tidak cukup tegas dalam isu ayam ini. Semasa isu ini hangat diperkatakan pada Mei lalu, barulah ada agensi yang mahu masuk ke dalam industri secara besar-besaran. Kita juga baru terhegeh-hegeh nak tanam jagung untuk makanan ternakan.

Universiti kita ada banyak penyelidikan tentang makanan ternakan tetapi tidak dikomersialkan. Kita seperti baru hendak bermula.

Tetapi kata orang better late than never. Kita harap apabila menteri jaga pertanian dan menteri yang jaga hal ehwal pengguna yang baharu dilantik, mereka akan melihat isu ayam ini sebagai keutamaan mereka dan berazam tamatkan kemelut ini selamanya.

Banyak cadangan sudah dilontarkan, antaranya wujudkan lembaga unggas dan yang terkini, wujudkan stok penimbal makanan ternakan.

Faktanya ialah rakyat Malaysia makan 47.4 kilogram da­ging ayam dan 20.7 kilogram telur ayam dan itik setiap orang pada 2020, yang tertinggi berbanding daging yang lain dan kita menghasilkan 98.2 peratus daripada keperluan domestik itu.

Angka itu menunjukkan betapa besarnya kebergantungan rakyat kepada ayam dan betapa besarnya industri ini. Sementara menunggu Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan dan barisan Kabinet baharu dibentuk, bertabahlah…

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*