“Saya hanya mahu tahu status saya sebab sudah hampir sembilan bulan saya digantung tidak bertali.
“Ada desas-desus mengatakan saya sudah dicerai, namun sehingga sekarang saya tidak menerima sebarang dokumen perceraian itu,” kata seorang wanita mengenai sikap suaminya yang juga seorang calon di Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu.
Menurutnya, suaminya yang berusia lewat 40-an itu adalah penyandang kerusi DUN dan didakwa mendiamkan diri selepas rahsia perkahwinan mereka di negara jiran diketahui isteri pertama lelaki terbabit pada Oktober tahun lalu.
“Selepas kantoi, dia (suami) berjanji memujuk isteri pertamanya untuk menyelesaikan perkara berkenaan dengan cara baik, namun sebaliknya pula yang berlaku.
“Sampai sekarang saya tidak tahu status saya macam mana. Suami berdiam diri dan cuba mengelak apabila diajak berbincang.
“Kali terakhir saya berhubung dengannya pada April lalu menerusi aplikasi WhatsApp dan suami minta supaya saya bersabar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Dia yang merupakan seorang kontraktor mengakui berkenalan rapat dengan ahli politik itu pada 2019.
Wanita menjelaskan, ketika berkenalan dengan ahli politik itu, dia masih bergelar isteri kepada lelaki lain.
Namun, perkahwinannya sebelum ini gagal bertahan lama dan mereka bercerai pada hujung 2021.
“Saya kemudiannya berkahwin dengan ahli politik itu di Thailand pada Mac 2022 dengan ditemani dua rakan kami,” katanya.
Ditanya sama ada pendedahannya itu berniat untuk menjatuhkan karier ahli politik terbabit pada PRN kali ini, menurutnya, dia tidak berniat berbuat demikian dan sudah lama berusaha mendapatkan penjelasan daripada lelaki itu, namun gagal.
Menurutnya, beberapa bulan lalu, dia ada berjumpa beberapa orang pemimpin ‘senior’ parti berkenaan untuk mengadu masalah itu selain bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian secara baik.
“Tetapi, apabila diajak bersemuka, suami saya enggan bekerjasama dan sehingga kini tiada penyelesaian,” katanya.
Beberapa hari lalu, hangat di media sosial apabila ada netizen yang mempersoalkan keputusan kepimpinan parti mencalonkan semula ahli politik itu pada PRN kali ini.
Sementara itu, calon PRN terbabit ketika ditemui pemberita selepas penamaan calon di sini, hari ini enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan.
“Insya-Allah…kita akan mengambil tindakan. Insya-Allah…Allah bersama kita,” jawabnya ringkas.
Leave a Reply