Inspektor buat kerja kotor

Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 10 pertuduhan rasuah dan lapan pertuduhan pengubahan wang haram.

Lelaki berusia 39 tahun dari Sabah dan telah berkhidmat di Sarawak selama tujuh tahun itu mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Steve Ritikos.

Bagi 10 pertuduhan rasuah, dia menerima suapan dengan jumlah keseluruhan RM25,300 daripada dua lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dia menerima suapan tersebut melalui transaksi bank secara dalam talian antara tahun 2019 dan 2020.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1)(a) dan (b) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Manakala, lapan pertuduhan adalah di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta yang sama, kerana terlibat dalam pengubahan wang haram dengan jumlah keseluruhan RM290,867.65.

Dalam pertuduhan terbabit, dia didakwa terlibat secara tidak langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram dengan memberi arahan kepada seorang lelaki berusia 38 untuk membayar deposit dan ansuran bulanan kereta pacuan empat roda, membeli kereta jenis kompak secara tunai, memindahkan wang untuk ubah suai rumah dan sebuah motosikal berkuasa tinggi.

Dia didakwa melakukan pengubahan wang haram sekitar April 2018 dan Julai 2020.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili Peguam Francis Wee dibebaskan dengan jaminan tunai RM25,000 bagi semua pertuduhan yg dihadapi dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 24 November depan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nisla Abdul Latiff, serta dua Pegawai Pendakwa Jawa Milu dan Noor Afiqah Mohd Yusuf.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*