Insiden teknikal : Pesawat Malaysia Airlines dalam penerbangan ke Seoul berpatah balik

Sebuah pesawat Malaysia Airlines yang yang dalam penerbangan ke Seoul, Korea Selatan, dilaporkan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lewat malam tadi.

Menurut Flightradar24, penerbangan MH66 dijadualkan berlepas pada pukul 11.30 malam tetapi hanya berlepas sekitar pukul 12.01 pagi.

Laman web itu menunjukkan bahawa penerbangan tersebut berpatah balik ke KLIA.

Ini merupakan insiden terbaru melibatkan penerbangan tergendala dan dilencongkan membabitkan syarikat penerbangan itu dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Kira-kira dua minggu lalu, penerbangan Malaysia Airlines MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur terpaksa dilencongkan ke Alice Springs akibat masalah enjin di udara.

Menurut SBS News Australia, MH128 berlepas dari Melbourne sekitar pukul 11.20 malam pada 19 Ogos tetapi terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Alice Springs pada awal pagi berikutnya.

Tiga penerbangan Malaysia Airlines sebelum ini juga membuat pendaratan kecemasan.

Pada 4 Ogos, sebuah penerbangan Malaysia Airlines yang membawa 259 jemaah umrah menuju ke Jeddah berpatah balik ke KLIA disebabkan masalah teknikal sejurus selepas berlepas.

Pada 24 Jun, sebuah penerbangan ke Bangkok juga berpatah balik ke KLIA selepas mengalami masalah tekanan udara.

Pada 20 Jun, sebuah penerbangan Malaysia Airlines dengan lebih daripada 100 penumpang menuju ke Kuala Lumpur membuat pendaratan kecemasan di lapangan terbang Hyderabad, India, disebabkan masalah enjin.

Rabu lalu, FMT melaporkan bahawa Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengurangkan tempoh pembaharuan sijil perakuan pengendali udara (AOC) Malaysia Airlines daripada tiga tahun kepada satu tahun.

Langkah itu susulan syarikat penerbangan nasional itu berdepan isu signifikan menyumbang kepada beberapa insiden teknikal pesawatnya, termasuk terpaksa berpatah balik.

Khamis lalu, syarikat induk Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG), menyatakan bahawa mereka sepatutnya menerima 17 pesawat baru tahun ini dari pengeluar tetapi hanya empat dihantar setakat ini.

Pengarah urusan MAG, Izham Ismail, berkata isu ini sebahagiannya menjejaskan operasi mereka.

Katanya, kekurangan di seluruh dunia menyebabkan kelewatan dalam pengeluaran alat ganti, yang seterusnya menyebabkan masa yang lebih lama untuk pembaikan dan baik pulih enjin pesawat.

Terdahulu, MAG mengumumkan bahawa mereka akan mengurangkan penerbangan dan laluan hingga Disember ini.

Ini dilakukan sebagai respons terhadap gangguan dalam perkhidmatan mereka baru-baru ini yang menjejaskan Malaysia Airlines, Firefly, dan perkhidmatan Amal.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*