Tanggal 14 Januari setiap tahun merupakan tarikh sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Yang di-Pertuan Besar (YDPB) Negeri Sembilan. Seperti juga tahun-tahun sebelum ini, hari keramat ini disambut dengan penuh gilang gemilang sebagai memperingati ulang tahun rasmi pemerintah tertinggi negeri tersebut.
Sambutan yang penuh adat istiadat ini diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah saban tahun. Tidak hanya melibatkan perarakan diraja serta penganugerahan darjah kebesaran dan pingat, sambutan ini turut disambut dengan Olek Adat Lingkungan dan Luak Tanah Mengandung.
Pernahkah anda terfikir, mengapa pemerintah Negeri Sembilan tidak menggunakan gelaran Sultan atau Raja? Bersempena Hari Ulang Tahun Kelahiran YDPB Negeri Sembilan, mari kita soroti sejarah unik negeri ini bagi menjawab persoalan tersebut.
Sebenarnya, Negeri Sembilan ada pemerintah berdaulatnya yang tersendiri.
Berbeza dengan negeri-negeri yang lain, Negeri Sembilan diperintah oleh enam pemerintah. Sistem ini dipanggil pemerintahan bersama (shared sovereign).
Pemerintah Negeri Sembilan ialah Undang Yang Empat, YTM Tunku Besar Tampin dan YAM Tuan Besar. Undang Yang Empat merupakan YTM Dato’ Klana Petra Undang Sungei Ujong; YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirzaman Undang Jelebu; YTM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Undang Johol; dan YTM Dato’ Lela Maharaja atau Dato’ Sedia Raja Undang Rembau.
YAM Tuan Besar merupakan ketua negeri, atau kita kenali sebagai YDPB. Baginda hanya berkuasa sekitar istana Seri Menanti dan bukannya seluruh negeri. Malah, kuasa baginda tertakluk kepada izin dan rundingan YTM Dato’ Undang mengikut perlembagaan negeri dan Persekutuan.
Begitu juga dengan Undang Yang Empat, setiap pembesar ini mempunyai kawasan kuasa mereka yang tersendiri. Undang merupakan ketua kepada Luak dari segi adat. Menurut pakar perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz, YTM Dato Undang Yang Empat mempunyai kedaulatan, hak dan kuasa yang sama dengan YAM Tuan Besar dan Sultan-sultan negeri lain.
Apa yang uniknya dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan berbanding negeri lain ialah pelantikan YDPB tidak mengikut keturunan dari bapa kepada anak. Sistem ini mengikut adat perpatih.
Ia diputuskan berdasarkan perbincangan dan pemilihan Undang Yang Empat. Manakala bagi jawatan Undang pula, dibuat atas muafakat datuk lembaga bagi setiap luak, yang dilantik juga atas muafakat pemimpin keluarga bergelar buapak dan begitulah seterusnya.
Jadi, berdasarkan sistem lantikan ini, kuasa memilih pemimpin berasas kepada pemilihan rakyatnya sendiri dan lebih demokrasi.
Menurut sejarah, Tuanku Antah pernah dilarang mengguna pakai gelaran sultan menerusi satu perjanjian pada 1876. Begitu juga dengan Tuanku Muhammad yang cuba menggunakan gelaran Sultan pada 1909 tetapi tidak mendapat keizinan Undang Yang Empat.
Ada Perpatih merupakan adat yang menonjolkan nilai-nilai ‘menimbulkan yang baik, menghilangkan yang buruk’. Adat ini mengurangkan konflik dengan membentuk kehidupan masyarakat yang harmoni. Jadi, itulah sebab Negeri Sembilan tiada Sultan atau pemerintahnya tidak menggunakan gelaran seperti pemerintah negeri lain.
Leave a Reply