MULA berjinak dengan dadah sejak berusia 18 tahun sehingga menjadi penagih tegar membuatkan Rozita hilang nikmat menjadi seorang ibu yang sempurna kepada puteri tunggalnya.
Wanita yang berumur 47 tahun itu mengakui bahana dadah membuatkan dirinya tidak ubah seperti mayat hidup. Lebih parah, dia hanya mementingkan diri sendiri walaupun pernah berdepan saat kehilangan insan tersayang.
Mengimbau detik dirinya terjerumus dalam kegiatan penyalahgunaan dadah sejak 29 tahun lalu, Rozita yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak berkata, salah pergaulan semasa zaman remaja sedikit sebanyak telah mempengaruhinya terjerat ke lembah hitam.
“Rasa ingin tahu dan mahu mencuba juga mendorong saya menjadi penagih. Ketika itu, saya berkawan rapat dengan seorang lelaki.
“Kami berkawan selama dua tahun dan sepanjang tempoh itu saya cuba menasihatinya untuk berhenti mengambil dadah jenis ganja, namun gagal. Keadaan itu menyebabkan saya menjadi ingin tahu mengapa begitu sukar untuk dia berhenti. Akhirnya, saya sendiri mencuba ganja dan terus terjebak.
“Sejak itu, hidup saya berubah. Saya mula tidak pulang ke rumah, hidup tidak normal seperti orang lain. Kadang-kadang saya bekerja, kadang-kadang tidak. Hidup saya memang dengan dadah dan teman lelaki saya, ” katanya dalam satu temu bual khas di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Dengkil, Selangor baru-baru ini.
Berbicara lanjut, anak ketiga daripada empat beradik itu memaklumkan kali pertama dia ditangkap adalah pada 1999, iaitu ketika menginjak umur 19 tahun.
“Saya ditangkap dan dihantar ke Pusat Pemulihan Serenti Wanita Kemumin, Pengkalan Chepa, Kelantan ketika mengandungkan anak hasil hubungan dengan teman lelaki.
“Disebabkan status sebagai wanita hamil, tempoh pemulihan saya tidak lama, hanya enam bulan kerana ketika itu ada perubahan akta yang membebaskan ibu mengandung dan pesakit kronik lebih awal.
“Tetapi itulah, saya tidak pernah serik dan selepas melahirkan anak perempuan, saya masih berhubungan dengan lelaki sama kerana saya sudah terbiasa dengan gaya hidup menagih. Saya tinggalkan anak dalam jagaan keluarga begitu sahaja,” luahnya dengan linangan air mata.
Rozita akui dia kalah dengan godaan bahan terlarang itu sehingga tidak terfikir untuk membina rumah tangga dan menjaga keluarga. Keadaan menjadi semakin tidak terkawal sehingga dia pulang semula ke pangkuan teman lelakinya yang kemudian menawarkan dadah jenis heroin dan syabu.
Tambahnya, harga heroin yang mahal menyebabkan dia sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan demi mendapatkan ‘barang’ tersebut.
“Kesannya sangat kuat sehingga saya tidak dapat makan atau tidur. Saya muntah hijau dan kuning jika tidak dapat heroin,” katanya.
Paling memberi kesan apabila memikirkan kesilapan yang dilakukan terutama sebagai ibu yang mengabaikan tanggungjawab kepada anak dan gagal menyantuni ibunya sendiri.
“Saya pernah rasa ingin berubah, tetapi ada kalanya tidak kuat. Saya perlukan sokongan, tetapi masyarakat dan keluarga terdekat selalu kurang percaya kepada saya.
“Anak saya kini berumur 22 tahun dan saya juga mempunyai seorang cucu, tetapi saya tidak membesarkan mereka,” katanya yang bakal dibebaskan pada 2026.
Ketika ditanya faktor yang mendorong dirinya untuk berubah, wanita yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan itu berkata, pemergian ibu tercinta menyebabkan dia mula terdetik untuk memerdekakan dirinya daripada najis dadah.
Akui Rozita lagi, sepanjang hidupnya, dia sering menyusahkan insan di sekeliling, terutama arwah ibunya.
“Ibu sering menangis kerana risau tentang saya. Namun, saya tidak pernah hiraukan kata-katanya. Saya tidak pulang malam dan tidak peduli walaupun ditangkap.
“Sehinggalah ibu saya sakit dan akhirnya meninggal dunia. Ketika itu, saya mula merasakan keperluan untuk berubah. Hidup saya tidak normal, setiap pagi saya hanya fikirkan benda itu. Saya tidak boleh bangun, makan atau bekerja tanpa benda itu.
“Saya akhirnya minta adik mencari pusat pemulihan dan membuat keputusan untuk masuk ke sini (Puspen). Saya sedar perlunya berubah kerana diri, agama dan masa depan anak serta cucu saya,” ujarnya sambil memberitahu bahawa sudah enam kali dirinya dimasukkan ke pusat pemulihan.
Selama sembilan bulan di Puspen, Rozita terus nekad untuk pulih daripada dadah dan kembali ke pangkal jalan, malah berjanji untuk menjadi seorang ibu yang bertanggungjawab kepada anaknya.
“Di Puspen, saya banyak belajar terutama tentang agama termasuk solat, mengaji dan menghafal surah-surah lazim. Saya belajar mengawal emosi dan kesabaran. Saya rasa pusat pemulihan ini adalah tempat terbaik untuk berubah.
“Harapan saya adalah untuk benar-benar membebaskan diri daripada benda ini dan kembali kepada jalan yang diredai ALLAH. Saya ingin bertaubat dan meluangkan masa bersama keluarga.
“Saya nak tebus semula masa bersama keluarga. Alhamdulillah, adik-beradik dan keluarga anak saya masih menerima saya seadanya. Mereka masih mahu saya pulang ke pangkuan mereka dan melupakan sejarah hitam saya sebelum ini,” katanya menutup bicara.
Turut baca :
Leave a Reply