Individu ‘putih mata’, tanggung kerugian besar, bank tersilap batal pinjaman ASB

SEORANG individu berputih mata apabila terpaksa menanggung kerugian akibat kesilapan yang dibuat sebuah bank di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

Berdasarkan satu perkongsian di laman Facebook Farzli Adenan, individu tersebut memberitahu dia pernah membuat pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB) dengan nilai RM50,000 bagi tempoh 25 tahun.

Bagaimanapun, dia mendedahkan bahawa bank berkenaan telah membuat kesilapan dengan membatalkan pinjaman ASB tanpa pengetahuan dirinya.

“Sebelum ini saya bayar dengan kaedah potongan terus daripada akaun simpanan bank saya.

“Pada awal tahun 2024, saya membuat keputusan dengan menukar kaedah bayaran secara terus (seketul) untuk setahun dengan kaedah bayaran pendahuluan sebab tidak mahu bayar bulan-bulan.

“Namun pada April lalu saya terkejut melihat pinjaman ASB telah tiada melalui semakan dengan portal,” katanya.

Individu tersebut kemudian merujuk kepada pihak pengurusan bank berkenaan, sebelum dimaklumkan bahawa mereka telah membuat kesilapan dengan membatalkan terus pinjaman ASB miliknya.

Lebih menyedihkan apabila wakil bank hanya membuat permohonan maaf atas kesalahan yang dilakukan dan hanya menyarankan dirinya agar membuat pinjaman baharu.

“Saya membuat aduan secara dalam talian di ibu pejabat dan jawapan mereka juga sama.

“Saya rujuk dengan Tribunal Pengguna namun mereka tidak dapat ambil kes ini kerana di luar bidang kuasa,” jelasnya.

Kongsi Farzli lagi, tindakan bank itu juga menyebabkan dia terpaksa menanggung beberapa kerugian yang besar.

Ujarnya, bank menamatkan pinjamannya yang belum mencapai tempoh matang menyebabkan jumlah pulangan semula yang diterima adalah dalam jumlah sedikit dan tidak berbaloi dengan kesetiaannya selama ini.

“Kerugian kedua, jika saya buat pinjaman baharu, nilai bulanan sudah berbeza kerana untuk ambil tempoh baki 20 tahun pinjaman.

“Pihak ibu pejabat senaraikan terus kes saya ambil moratorium menyebabkan refund saya sedikit.

“Itu bukan isunya kerana moratorium akan diselaraskan semula sebelum pinjaman berakhir dan penamatan ini bukan kerelaan saya, tetapi atas kecuaian pihak bank sendiri.

“Saya mohon pandangan jika ada ruang yang saya boleh ambil tindakan agar terbela dan setimpal dengan kerugian yang dialami,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*