Individu muat naik video berkaitan 13 Mei dicekup polis. Polis menahan seorang kolumnis Zulfadzli Halim atas dakwaan memuat naik kenyataan hasutan di media sosial.
Menurut polis, Zulfadzli, 39, memuat naik video yang didakwa mempunyai unsur perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.
Dalam kenyataan media, setiausaha polis Noorsiah Mohd Saaduddin berkata bahawa Zulfadli disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
Zulfadzli, yang menulis untuk portal The Malaysian Insight, dalam ciapan menerusi Twitter berkata bahawa dia tidak jelas video mana yang dirujuk polis tetapi katanya dia diberitahu ia disebabkan kandungan yang memfitnah Agong.
Saya dalam perjalanan ke IPD Ampang Jaya untuk membantu siasatan(?). Saya pun taktahu apa kesalahan saya, cuma diberitahu saya disiasat bawah akta hasutan dan multimedia kerana menghina YDPA.
— Zulfadzli (@bumilangit) November 23, 2022
“Untuk rekod, saya menghormati Agong sepenuhnya sehingga saya sentiasa menggunakan gelaran penuh ‘YDPA’.
“Saya tidak diberitahu tweet mana yang dikatakan memfitnah YDPA,” katanya, menggunakan singkatan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Saya juga ingin tahu. Berani kerana benar,” katanya.
Walaupun tidak jelas bilakah dia “memburukkan Agong”, semakan Malaysiakini mendapati pada 21 Nov dia menimbulkan kebimbangan mengenai kandungan menghasut di platform media sosial TikTok.
Dia menunjukkan bukti bahawa pengguna TikTok memberi amaran rusuhan kaum 13 Mei 1969 boleh berulang.
Dalam ciapannya, Zulfadzli berkongsi bagaimana beberapa video, termasuk adegan mengacung senjata seperti keris.
Dia menambah bahawa telah melaporkan video itu kepada TikTok, tetapi masih banyak yang tidak dipadam, walaupun selepas dua jam.
Pada 20 Nov, dia berkongsi satu lagi video pemimpin DAP dituduh anti-Melayu, sebagai bukti bagaimana DAP diburuk-burukkan dalam kalangan masyarakat Melayu.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan penularan klip-klip menghasut di TikTok yang mengancam keganasan antara etnik, sejurus selepas berakhirnya pilihan raya umum ke-15 pada 19 Nov.
TikTok ialah platform media sosial yang popular dengan golongan muda, dengan 41 peratus berumur antara 16 hingga 24 tahun.
TikTok memberitahu Malaysiakini ia secara agresif memadam kandungan yang “melanggar” garis panduan mereka.
Bagaimanapun ramai pengguna media sosial berkata pengendali TikTok memberitahu mereka kandungan yang mereka laporkan tidak melanggar garis panduan.
Turut baca :
Leave a Reply