“Ibu mana tak sedih…” Ibu mangsa dera warga Indonesia tampil bersuara, tagih bantuan bekas majikan

VIDEO tular memaparkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera ibu angkatnya terus menjadi buah mulut netizen di media sosial.

Malah, ramai yang turut tertanya-tanya mengenai identiti sebenar serta keberadaan ibu kandungnya sehingga mangsa terlepas ke tangan pelaku.

Sehinggalah pada Sabtu, seorang individu tampil membuat pendedahan mengenai ibu mangsa yang kini berada dalam jagaan keluarganya.

Menurut Ezreeq Mohd Noh, dia dan isterinya mengenali suspek kes dera berkenaan sebelum mereka dipertemukan dengan ibu kanak-kanak berkenaan pada tahun lalu.

“Saya dengan isteri kenal dengan suspek kes dera itu kerana dia dulu ada jual kucing. Kemudian isteri saya ada kongsi di Instagram Story, mengatakan tengah cari pembantu rumah. Jadi si pelaku tawarkan kata dia boleh bantu.

“Kami tunggu lebih sebulan baru dia hantar pembantu rumah yang dikenali sebagai Emelda. Dia dari Indonesia, berusia dalam 22 tahun. Emelda jadi pembantu rumah kepada adik ipar saya pada Mac tahun lepas.

“Sebab dia janji nak bagi Emelda kepada kami, dia pegang anak Emelda. Lepas dua bulan bekerja, Emelda lari pada awal Mei. Dia lari bekerja di Klang, dia ikut abang kandungnya.

“Semalam selepas video dera itu tular, Emelda datang merayu dekat kami minta tolong. Dia tiada sesiapa di Malaysia, sebab tu dia patah balik dekat kami,” dakwa pemuda itu.

Menurut Ezreeq lagi, Emelda begitu hiba dan sedih apabila mengenangkan anak perempuannya diperlakukan dengan kejam seperti dalam video tular berkenaan.

Dedahnya lagi, dia dan isteri turut menumpangkan Emelda di kediaman keluarganya sejak Jumaat.

"Ibu mana tak sedih..." Ibu mangsa dera warga Indonesia tampil bersuara, tagih bantuan bekas majikan

Dia juga turut membantu wanita itu untuk dibawa kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Semalam jumpa dia, dia menangis dan berharap dapat jumpa balik anaknya. Lama dia terpisah dengan anaknya. Kemudian kena dera macam tu.

“Ibu mana yang sanggup tengok? Kita yang tiada pertalian darah pun tak sanggup tengok, macam orang tak ada hati perut.

“InsyaAllah kami akan bawa Emelda ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kajang untuk rekod keterangan. Saya difahamkan anaknya kini sedang menjalani pemeriksaan di hospital. Sekarang Emelda tumpang rumah keluarga kami, sebab polis minta kami bantu dia. Kami bantu atas dasar kemanusiaan.

“Kita sebagai manusia tak ada kuasa mutlak untuk jatuhkan hukuman kepada sesiapa. Tapi apa yang pelaku buat kepada kanak-kanak itu memang tak patut. Dia perlu dibawa ke muka pengadilan untuk jadi pengajaran kepada semua,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, kes dera kanak-kanak berusia empat tahun itu meraih perhatian ramai selepas beberapa video tersebar di media sosial sejak pagi Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan, dua individu yang dikaitkan dalam kes dera itu sudah ditahan dan mangsa juga telah diselamatkan.

“Selepas menerima laporan berkenaan, Polis Kajang pada 22 Julai 2022 jam 2.30 pagi telah bertindak menyelamatkan mangsa dan telah membuat tangkapan ke atas seorang perempuan Melayu dan seorang lelaki warganegara Singapura di sebuah rumah di taman perumahan Beranang, Selangor.

“Suspek berumur lingkungan 28 hingga 30-an. Tahanan reman dibenarkan selama tujuh hari sehingga 28 Julai 2022. Mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan, doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mangsa merupakan kanak-kanak berusia anggaran empat tahun, merupakan anak kepada warganegara Indonesia yang mana kelahirannya tidak pernah didaftarkan dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Mangsa telah diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak April 2022 kerana ibu kandungnya tidak mampu menjaganya. Mangsa dikatakan dipukul oleh pasangan tersebut menggunakan penyangkut baju, kayu penyapu dan kadang-kadang dicucuh dengan pemetik api,” ujarnya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*