Ibu, bayi baru habis berpantang serta nenek maut kemalangan di LPT 2

DUNGUN – Seorang wanita yang baru lepas berpantang bersama bayi lelakinya berusia dua bulan serta ibunya m@ut dalam kemalangan di Kilometer 375.8 Lebuh Raya Pantai Timur 2 berhampiran Bukit Besi di sini semalam.

Dalam kemalangan pada pukul 6.30 petang itu, Nik Muhammad Zayyan Irfan Zulhilmi Ismail yang berusia dua bulan dan neneknya, Noreha Mohamed, 53, meninggal dunia akibat keceder@an pada beberapa bahagian badan dan kepala.

Ibu bayi tersebut, Raja Nurhanani Nabila Raja Hussin, 23, pula meninggal dunia sewaktu sedang menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kemalangan itu juga menyebabkan dua adik Raja Nurhanani Nabila iaitu Raja Haikal Najmi, 20, dan Raja Nurhumairaa Nadzirah, 13, masing-masing patah kaki kanan dan patah bahu kiri.

Beliau berkata, sewaktu kejadian, keluarga tersebut dikatakan dalam perjalanan pulang dari rumah Raja Nurhanani Nabila di Kem Tentera Darat Batu 10, Kuantan, Pahang selepas habis berpantang di kampung di Kampung Semat, Wakaf Bharu, Kelantan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira dipandu Raja Haikal Najmi dikatakan tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas melanggar kotak pembetung yang berada di tepi lebuh raya lalu terbalik.

“Kesemua yang tersepit dalam kereta yang remuk teruk telah dikeluarkan oleh anggota bomba,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*