Ibu bapa kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin menitiskan air mata di dalam kandang tertuduh sebaik saja jurugambar polis mengemukakan 94 gambar bedah siasat anaknya itu kepada Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Saksi pertama pendakwaan, Detektif Koperal Mohamad Hirwan Arifin yang juga jurugambar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, mengemukakan 142 foto termasuk gambar bedah siasat, tempat kejadian dan forensik serta beg mangsa.
Antaranya ialah foto mayat Zayn Rayyan masih memakai lampin pakai buang, kecederaan lengan, gambar kaki, telinga, muka, kemaluan dan beberapa barangan kanak-kanak itu.
Gambar itu didedahkan dalam perbicaraan atas pertuduhan pengabaian dihadapi ibu bapa mangsa, iaitu Zaim Ikhwan Zahari, 30, serta Ismanira Abdul Manaf, 30, di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Ketika semua gambar berkenaan dikemukakan saksi, Zaim Ikhwan dan Ismanira dilihat menangis di dalam kandang tertuduh sebelum mahkamah membenarkan prosiding ditangguhkan beberapa minit berikutan pasangan itu mahu ke tandas.
Mohamad Hirwan, 45, ketika memberi keterangan berkata, beliau diarahkan mengambil gambar di lokasi jenayah oleh pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail, pada 7 Disember 2023.
Beliau menjawab soalan pada sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian.
Kamarul Iman: Lima dan enam gambar apa?
Mohamad Hirwan: Ya, itu adalah gambar mangsa bernama Zayn Rayyan
Kamarul Iman: Boleh kamu terangkan gambar tujuh dan lapan?
Mohamad Hirwan: Gambar muka mangsa dan gambar lapan tak silap, kecederaan lengan mangsa.
Kamarul Iman: Gambar 19 hingga 23, boleh terangkan?
Mohamad Hirwan: Gambar mangsa telah dibuka baju dan seluar, cuma ada gambar mangsa memakai ‘pampers’ (lampin pakai buang), gambar kepala hingga badan mangsa, gambar kemaluan mangsa, baju tertulis Zayn Rayyan, seluar mangsa tertulis Cheetah dan gambar bersama ‘pampers’ mangsa.
Selain itu, Mohamad Hirwan memberitahu mahkamah bahawa pada 13 Disember 2023, beliau menerima arahan daripada Mohd Hafizee untuk mengambil gambar beg mangsa.
“Gambar beg berwarna biru merah kuning putih, terdapat perkataan ‘S’ di tengah-tengah beg serta satu beg kecil berwarna biru merah dan ada gambar kartun bersama botol air berwarna hijau,” katanya.
Mohamad Hirwan juga mengemukakan gambar di lokasi kejadian, iaitu Blok R Apartmen Idaman, stor barangan, pintu luar dalam rumah mangsa dan lokasi tangga.
Pada 13 Jun tahun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak mereka itu.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu sebagai orang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai, di sini, antara jam 12 tengah hari 5 Disember dan jam 9.55 malam 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Baca juga :
Sindiket tawaran pinjaman: Ziana Zain kunci mulut bakal disiasat SPRM
Leave a Reply