Ibu, anak antara 3 maut kemalangan dalam perjalanan ke sekolah

Ibu dan anak antara tiga yang maut dan empat cedera dalam kemalangan tiga kenderaan dalam perjalanan ke sekolah di Jalan Besar Jengka 3 di sini jam 8.15 pagi hari Isnin baru ini.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, kemalangan berlaku apabila Perodua Alza dalam perjalanan dari arah bandar Jengka menghala ke Maran bertembung dengan Toyota Avanza.

Ketika itu juga, datang kereta Perodua Myvi dari arah bandar Jengka yang menghala ke bandar Maran tidak sempat mengelak dan melanggar Toyota Avanza yang melintang di tengah jalan,” katanya.

Ibu, anak antara 3 maut kemalangan dalam perjalanan ke sekolah

Katanya, akibat kemalangan itu, kerani Sekolah Kebangsaan (SK) Jengka 3 yang memandu Perodua Alza dikenali sebagai Noraini Ali, 42 dan anaknya, Aufa Medina Azuan, 7, yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut.

Turut terkorban penumpang hadapan Toyota Avanza yang juga pelajar Sekolah Menengah (SMK) Jengka 2, Nik Nurien Haziqah Nik Ibrahim, 13.

Noraini dan Nurien Haziqah maut di tempat kejadian, manakala Aufa Medina yang juga murid SK Jengka 3 meninggal dunia di sebuah klinik kesihatan.

“Mangsa yang cedera, seorang guru yang memandu Perodua Myvi berusia 34 tahun dan pelajar SMK Jengka 2 berusia 13 tahun menumpang kereta Toyota Avanza yang kini dirawat di Hospital Jengka.

“Manakala, penumpang belakang Toyota Avanza itu pelajar SMK Jengka 2 berusia 13 tahun dan pemandu berusia 28 tahun mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*