Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Ibrahim Ali, menawarkan diri untuk membantu kerajaan “memunggah” wang berbillion ringgit yang didakwa kepunyaan Dr Mahathir Mohamad.
Kenyataan secara sinis itu hadir selepas Mahathir – juga dengan nada menyindir – meminta bantuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menunjukkan lokasi wang berbillion ringgit yang didakwa dicurinya, semalam.
“Saya sedia secara sukarela untuk membantu memunggah wang berbillion ringgit kepunyaan Tun Mahathir sebagaimana dakwaan PMX (Anwar).
“Tun Mahathir sudah berumur hampir 99 tahun dan PMX yang tidak sekuat mana memerlukan pertolongan membantu mereka berdua membawa balik wang berbillion tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Mahathir memerli Anwar dengan berkata dia bersedia untuk menderma berbilion ringgit wang yang dikatakan dicuri olehnya ketika menjadi perdana menteri.
Bekas pengerusi Bersatu dan Pejuang itu juga meminta Anwar – yang juga ahli Parlimen Tambun – untuk memberi penjelasan tentang lokasi wang yang dikatakan dicuri itu kerana dia tidak pernah melihat duit berkenaan.
Kata Mahathir dia sanggup membawa balik semua duit tersebut – jika ada – untuk didermakan semuanya kepada orang miskin.
“Tetapi Anwar kenalah beritahu kepada saya di mana duit itu berada,” kata Mahathir dalam catatan di media sosial semalam.
Pada April lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mendedahkan Mahathir sedang disiasat manakala anak lelakinya, Mukhriz dan Mirzan, diberikan notis untuk mengisytiharkan aset mereka selama beberapa dekad.
Menurut Ibrahim hari ini, dia juga mencadangkan agar ada pengiring kepada wang tersebut namun ia perlu dipilih secara tender terbuka bagi memastikan tatakelola yang baik, bukannya bukannya secara lantikan terus.
Meneruskan sindirannya, Ibrahim malah menawarkan khidmat untuk mengedarkan wang tersebut kerana menganggap dia paling sesuai menjalankan tugas itu disebabkan rekodnya yang bersih selain konsisten memperjuangkan isu orang Melayu sejak dahulu.
“Saya akan masuk tender terbuka kerana saya yakin akan terpilih berdasarkan rekod (bersih).
“Setidak-tidaknya saya boleh memerhati dan mengawal agar duit tersebut tidak hilang. Sekarang agensi penguatkuasa tidak boleh diharap,” sindirnya.
Bagaimanapun, Ibrahim berkata sindirian itu bukan berniat jahat tapi hanya ingin mengenang nostalgia bersama dua pemimpin tersebut.
Dia juga mendakwa sangat rapat dengan Mahathir dan Anwar ketika mereka bersama-sama dalam Umno suatu ketika dulu.
“Saya penyokong kuat Tun (Mahathir) dan rakan akrab Anwar dahulu. Satu ayah, satu abang,” katanya.
Turut baca :
Leave a Reply