Hormat titah Agong, polis gesa orang ramai tidak sertai himpunan solidariti Najib

Polis menggesa orang ramai tidak menyertai apa jua perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak, demi menghormati titah Yang di-Pertuan Agong.

Gesaan Ketua Polis Negara Razarudin Husain menyusuli kenyataan Istana Negara, yang mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan dan undang-undang bagi memohon keampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.

“Demi menghormati titah kenyataan Agong, orang ramai digesa tidak menyertai apa jua perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak.

“Semua rakyat digesa untuk sentiasa mendukung prinsip rukun negara khususnya kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan yang merupakan pancang kepada kemakmuran dan keharmonian negara,” kata Razarudin dalam kenyataan.

Sebelum ini dilaporkan suatu perhimpunan akan diadakan pada 6 Jan, iaitu hari Mahkamah Rayuan mendengar rayuan bekas presiden Umno, Najib Razak, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Turut dilaporkan ahli beberapa parti politik akan menyertai solidariti bersama Najib itu, antaranya daripada Umno dan PAS.

Tengah hari tadi, Istana Negara dalam kenyataan berkata Agong mempunyai kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi kesalahan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Baginda juga boleh meremit, menggantung atau meringankan hukuman dijatuhkan mahkamah bagi kesalahan tersebut, dengan kuasa itu dijalankan atas nasihat Lembaga Pengampunan dipengerusikannya.

Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong pada mesyuarat akan datang, katanya.

“Polis menjunjung hormat dan menyusul titah kenyataan Agong berhubung kuasa prerogatif Agong sepertimana termaktub dalam Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan yang jelas memandu semua pihak yang berhasrat untuk mendapatkan pengampunan perlu mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan dan bukannya melalui perhimpunan atau apa jua saluran yang tidak mengikut undang-undang,” kata Razarudin.

Pada 28 Dis lepas, Jabatan Peguam Negara berkata, permohonan pengampunan termasuk menghabiskan baki hukuman penjara di rumah mana-mana banduan termasuk bekas perdana menteri Najib Razak perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan.

Katanya, permohonan itu perlu dilakukan mengikut tatacara dan saluran ditetapkan, bawah undang-undang, bukannya mana-mana saluran lain.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*