Hishammuddin digesa jelaskan kontrak ‘tambahan’ kapal LCS

Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein digesa menjelaskan butiran kontrak tambahan yang ditandatangani antara kementeriannya dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS) yang bermasalah.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong berkata, berdasarkan pemfailan BNS kepada Suruhanjaya Syarikat, firma itu telah menandatangani kontrak tambahan kelima untuk projek LCS dengan Kementerian Pertahanan pada 31 Mei 2022.

“Hishammuddin mesti memaklumkan kepada parlimen dan orang ramai, akibat daripada kontrak tambahan, sama ada sebarang jumlah daripada baki RM 3.048 bilion telah disalurkan kepada BNS,” kata Liew, yang sebelum ini merupakan timbalan menteri pertahanan.

Selain itu, Liew juga menggesa Hishammuddin menjelaskan maksudnya apabila mendakwa “tiada dana baru” akan diperuntukkan untuk projek LCS dan sama ada ini bermakna kerajaan masih akan menyalurkan baki RM3.048 bilion daripada RM9.128 bilion nilai kontrak.

“Penjelasan paling munasabah ialah kerajaan akan menyalurkan baki RM3.048 bilion kepada (kontraktor) BNS (Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd).

“Tetapi adalah tidak boleh diterima untuk menyalurkan baki RM3.048 bilion kepada BNS tanpa mempunyai pelan pembiayaan yang jelas yang meyakinkan dan boleh dipercayai,” kata Liew.

Kelmarin, Hishammuddin memberitahu pemberita bahawa “peruntukan dana tambahan” untuk projek LCS hanya akan dipertimbangkan selepas kapal pertama daripada enam kapal diterima.

“Kapal pertama ini tidak akan menerima suntikan dana terbaru,” jelasnya.

Ketika ditanya secara khusus jika dana tambahan diperlukan untuk menyiapkan lima kapal lain, Hishammuddin berkata:

“Buktikan kepada saya yang kita boleh siapkan kapal (LCS) pertama dahulu. Kalau kapal pertama pun tak boleh siapkan seperti agenda di bawah pelan kita kali ini, tidak guna kita fikirkan dana tambahan,” katanya.

Hishammuddin digesa jelaskan kontrak 'tambahan' kapal LCS

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*