Hina Sultan Selangor, Sanusi didakwa esok

Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor akan didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, esok.

Menurut Berita Harian, tuduhan itu dipercayai berkait kenyataan Sanusi dalam ceramah baru-baru ini, seolah -olah mempertikai perkenan Sultan Selangor melantik Amirudin Shari sebagai menteri besar.

Menerusi semakan sistem mahkamah, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu akan didakwa di dua mahkamah iaitu di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh pada 9 pagi, memetik Bernama.

Dalam ucapan Sanusi yang tular, pemimpin PAS itu dipaparkan seolah-olah menyentuh perkenan Sultan Selangor, berkait pelantikan “menteri besar cokia (tiada kualiti)”.

Bagaimanapun, pada 15 Julai lalu beliau memohon ampun kepada Sultan Selangor dan menjelaskan maksud sebenar ucapannya yang didakwa diputar belit.

Hari ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah apa diperkatakan pengarah pilihan raya Perikatan Nasional itu “masih belum selesai”, biarpun permohonan ampun dikemukakan.

Khamis lalu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilaporkan berkata, polis sedang menyiasat Sanusi bagi kesalahan berkait 3R (kaum, agama, institusi diraja).

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata tindakan undang-undang terhadap Sanusi tidak akan selesai menerusi permohonan ampun kepada Sultan Selangor.

Katanya, permohonan maaf bukan pembelaan dari segi undang-undang dalam perundangan jenayah.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*