Hina Sultan Johor, pengendali FB ‘JDT Fan Club’ dicekup

Seorang lelaki dipercayai pengendali akaun Facebook JDT Fan Club ditahan polis kerana memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi diraja dan Sultan Johor.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan semalam di Alor Setar, Kedah, dan telefon bimbit serta kad SIM yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran itu turut dirampas.

“Lelaki terbabit direman tiga hari sehingga 26 Jun ini dan siasatan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman,” kata Setiausaha Polis Noorsiah Saaduddin dalam kenyataan, lapor Bernama.

Ads by Kiosked
Noorsiah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian serta penghinaan terhadap mana-mana raja dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah jenayah.

Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Noorsiah menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan platform media sosial sehingga mengundang kemarahan, menimbulkan rasa benci terhadap agama, bangsa dan raja serta menggugat keharmonian negara.

Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam, tambahnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*