Himpunan solidariti bersama bekas perdana menteri Najib Razak sah di sisi undang-undang, kata seorang pemimpin PAS hari ini, berikutan gesaan polis supaya orang ramai tidak menyertai sebarang perhimpunan susulan kenyataan Istana Negara.
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata, rakyat Malaysia berhak berhimpun selagi tidak wujud unsur provokasi yang melanggar undang-undang.
“Setakat ini, kami tidak bercadang membatalkannya kerana percaya ia sah di sisi undang-undang. Bagaimanapun, kami akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya kepada FMT sebagai respons kepada gesaan Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
Beliau berkata demikian susulan keputusan Umno tidak meneruskan himpunan solidariti bersama bekas presidennya itu, atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, serta mematuhi gesaan polis.
“Kami percaya hak berhimpun dijamin bawah Perlembagaan Persekutuan, dan kami tidak akan melanggar undang-undang yang termaktub bawahnya. Kami percaya rakyat mempunyai hak untuk berhimpun atas apa jua sebab,” kata Fadhli.
Beliau berkata, keputusan sama ada himpunan itu akan diteruskan akan diumumkan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan malam ini atau esok.
Awal hari ini, Razarudin berkata, Istana Negara dengan jelas mengarahkan semua banduan yang ingin mendapatkan pengampunan agar memohon kepada Lembaga Pengampunan, bukan melalui sebarang himpunan atau saluran yang tidak mematuhi undang-undang.
Terdahulu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam surat kepada ahli parti berkata, himpunan itu tertumpu pada rayuan Najib mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung titah adendum mengenai tahanan rumah.
Titah adendum itu dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu seiring keputusan Lembaga Pengampunan pada Februari tahun lepas untuk memendekkan hukuman penjara 12 tahun Najib serta mengurangkan denda.
Takiyuddin turut meminta ahli parti berkumpul di depan Istana Kehakiman bermula 9 pagi pada 6 Jan, iaitu pada hari Mahkamah Rayuan mendengar permohonan Najib mendapatkan kebenaran mengemukakan keterangan baharu dalam rayuannya untuk menjalani tahanan rumah.
Umno, MCA, MIC dan Bersatu sebelum ini berkata, mereka akan turut menghadiri himpunan itu. Bagaimanapun, dalam kenyataan malam ini, Umno berkata, pihaknya tidak akan meneruskan berhimpun atas prinsip menjunjung titah Agong dan mematuhi arahan Razarudin.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun, setelah dikurangkan daripada 12 tahun oleh Lembaga Pengampunan, berhubung sabitannya dalam kes SRC International.
Baca juga :
Leave a Reply