Himpunan ‘Selamatkan Malaysia’ sekadar puaskan nafsu politik PN yang tak bertebing.
Pemuda Umno Kelantan menyifatkan himpunan gerakan ‘Selamatkan Malaysia’yang diketuai Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fahdli Shaari semata-mata kerana mahu memuaskan nafsu politik pembangkang yang masih belum berkesudahan.
Justeru, ketuanya Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menggesa Ahmad Fadhli yang juga anggota Parlimen Pasir Mas dan Anggota Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal supaya memberi tumpuan memajukan Kelantan selepas PN diberi mandat besar pada pilihan raya negeri (PRN), baru-baru ini.
“Seruan saya untuk Ahmad Fadhli Shaari dan Ahmad Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, sudah-sudahlah berpolitik, sekarang adalah masa untuk bangunkan negeri kita Kelantan tercinta, rakyat sudah beri tanggungjawab maka apa perlunya menghasut rakyat ke jalanan lagi?
“Jika YB berdua tidak puas hati berkaitan isu yang berlaku dalam negara, kalian telah diberikan kerusi untuk suarakan rasa tersebut di Parlimen, kenapa perlu menyusahkan rakyat lagi?” soalnya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dia berkata demikian sebagai mengulas mengenai penganjuran himpunan ‘Selamatkan Malaysia’ yang dianjurkan Pemuda PN di Kuala Lumpur, pada 16 Sept nanti.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan perhimpunan itu sebagai tanda protes terhadap penarikan balik pertuduhan jenayah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Ahmad Fadhli gerakan itu bertujuan mengumpulkan seramai mungkin rakyat Malaysia khususnya golongan belia bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kes mahkamah Zahid dan keadaan institusi kehakiman dan keadilan negara.
Sementara itu itu Mohd Azmawi Fikri berkata, sebelum berkempen untuk selamatkan Malaysia, Ahmad Fadhli sepatutnya terlebih dahulu memajukan Kelantan dan bukan sibuk berterusan memikirkan bagaimana caranya untuk ‘tebuk atap’.
Dia turut menyarankan agar wakil rakyat Kelantan itu menggembleng fikiran untuk menjadikan Kelantan sebagai jelapang makanan negara dan menyumbang kepada sekuriti makanan dalam keadaan dunia berdepan krisis makanan dan bukan sebaliknya, hanya pandai melancarkan slogan ‘bertani satu ibadah’ di pentas ceramah.
“Apa usaha YB berdua dalam merangka pelan pemulihan bekalan air Kelantan, penjanaan pekerjaan, tarikan pelancongan dan pelaburan untuk anak negeri Kelantan yang memilih Parti PAS untuk memerintah Negeri.
“Pada pandangan Pemuda Umno Kelantan, memangsakan rakyat demi kepentingan pandangan politik YB sekelian untuk mengoncang kestabilan kerajaan yang berdepan krisis ekonomi dunia adalah bukan satu pilihan.
“Justeru itu, ayuh kita majukan Kelantan, malah Pemuda Umno Kelantan bersedia untuk memainkan peranan semak dan imbang dalam memastikan faedah diterima rakyat terbanyak tanpa mengira pandangan politik,” katanya.
Leave a Reply