Anggota tentera, Prebet Muhammad Fakrullah Nazri, 21, yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah untuk melapor diri di Kem Terendak, Sungai Udang sejak 24 Jun lalu ditemui selamat di sebuah restoran di Semabok di sini.
Bapanya, Nazri Abd Rahim, 48, berkata, Muhammad Fakrullah dijumpai oleh abangnya, Muhammad Aikal kira-kira pukul 7 malam tadi dalam keadaan tidak terurus dan sedang makan di premis berkenaan.
“Alhamdulillah ketika ditemui, Fakrullah dilihat sedang makan dalam keadaan tidak terurus.
“Apabila nampak abangnya dia kelihatan terkejut sebelum menangis sambil mendakwa dia cuba untuk pulang ke rumah, namun terasa ‘berat’.
“Kami sekeluarga tidak pasti apakah puncanya, namun bersyukur dan terus memaklumkan kepada pegawainya di Kem Terendak sebelum mereka datang mengambilnya,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Mengulas lanjut, Nazri memberitahu, anak kedua daripada tiga beradik itu memaklumkan dia menginap di beberapa lokasi termasuk hotel bajet di melaka sepanjang 41 hari kehilangan tersebut.
“Sampai sekarang, kami sekeluarga masih tidak tahu punca sebenar dia bertindak demikian kerana dia tiada masalah dengan keluarga, teman wanita, masalah kewangan atau dibuli.
“Cuma malam tadi dia beritahu hatinya rasa ‘berat’ untuk pulang ke rumah dan sikapnya berubah selepas bertugas di pintu sempadan negara di Thailand pada September tahun lalu,” ujarnya.
Sebelum ini, Kosmo! pada 1 Ogos lalu melaporkan seorang anggota tentera Kem Terendak, Sungai Udang yang sepatutnya kembali bertugas pada 24 Jun lalu dilaporkan hilang tanpa jejak.
Laporan kehilangan Muhammad Fakrullah Nazri, 21, dibuat oleh bapanya pada 20 Julai lalu.
Katanya, mangsa yang telah berkhidmat selama dua tahun dikatakan keluar rumah pada pukul 8.10 malam untuk melapor diri bertugas di kem berkenaan selepas tamat tempoh bercuti.
Turut baca :
Leave a Reply