Hidap penyakit ganjil, ini kisah gadis yang melihat dunia dalam keadaan terbalik

Pada tahun 2013, kisah seorang gadis bernama Bojana Danilovic pernah mendapat perhatian media. Cerita gadis berusia 28 tahun berasal dari Serbia itu agak unik apabila dia hidup dalam dunia terbalik.

Bojana dikatakan mula hidup dalam dunia terbalik sejak dia lahir lagi. Ketika kelahirannya, dia dilahirkan secara songsang iaitu bahagian kakinya yang keluar dahulu daripada perut ibunya.

Kemudian, kelainan Bojana kelihatan apabila dia mula pandai merangkak. Seorang bayi yang normal akan merangkak ke hadapan. Tetapi tidak bagi Bojana, di mana dia merangkak secara mengundur ke belakang. Begitu juga ketika dia mula-mula baru hendak belajar bertatih, langkah pertamanya bukan ke hadapan tetapi ke belakang, iaitu berjalan secara mengundur.

Hal ini menyebabkan ibu bapanya selalu mengambil cuti hanya semata-mata untuk mengajar anaknya berjalan. Menurut ibunya, bukan mudah untuk mengajar anaknya berjalan dengan cara yang betul. Kegembiraan ibu bapanya tidak terucap apabila akhirnya Bojana mampu berjalan dengan normal seperti kanak-kanak lain. Namun, itu hanya dari segi berjalan saja. Dari sudut lain, Bojana masih lagi berada dalam dunianya yang serba serbi terbalik.

Masalah aneh yang berlaku kepada Bojana berlanjutan ketika dia mula belajar menulis. Dia akan memutar sekeping kertas kosong beberapa kali hingga kertas tersebut berada dalam keadaan terbalik. Kemudian dia akan memegang pensel secara terbalik dan mula menulis dari sudut kanan di sebelah bawah dan berakhir di sudut kiri sebelah atas.

Guru-guru dan teman sekelasnya sudah mencuba sedaya upaya untuk membantu memperbaiki cara menulisnya, tetapi usaha itu sia-sia. Ini kerana Bojana masih lagi terus dengan tabiatnya yang menulis secara terbalik.

Begitu juga ketika membaca, Bojana akan memegang buku secara terbalik. Dia akan mula membaca dari sudut bawah di sebelah kanan dan berakhir di bahagian atas sebelah kiri. Disebabkan kelakuannya yang aneh sebegitu, dia sering ditegur oleh orang ramai yang tidak tahu tentang masalah yang dihadapinya.

Ketika usianya meningkat dewasa, Bojana telah ditawarkan bekerja di majlis perbandaran Uzice di barat Serbia. Pada hari pertama memulakan tugasnya, dia berasa agak janggal. Hal ini kerana pada pandangannya, semua dokumen dan komputer di pejabat tersebut berada dalam keadaan terbalik.

Oleh sebab itu dia terpaksa memusing-musingkan papan kekunci dan monitor komputernya hingga berada dalam kedudukan betul. Itu hanya dari sudut pandangannya sahaja, tetapi dari sudut pandangan rakan-rakan sepejabatnya pula, semuanya berada dalam keadaan normal.

Turut baca :

Permasalahan yang dialami oleh Bojana telah mendapat perhatian daripada majikannya. Lantaran itu, bagi memudahkan urusan kerjanya, pihak syarikat telah menyediakan dokumen-dokumen yang dicetak khas dalam bentuk terbalik untuknya.

Bukan itu saja, satu perisian komputer telah dicipta khas untuknya. Dengan perisian tersebut, Bojana tidak perlu lagi menterbalikkan monitor dan papan kekuncinya. Dengan perisian baru itu juga dia dapat melaksanakan tugasnya dengan baik dan sempurna, tanpa sebarang masalah.

Begitu juga dengan hal yang berlaku di rumahnya. Keluarganya terpaksa membelikan sebuah televisyen khas buatnya. Mana tidaknya, kalau Bojana hendak menonton siaran televisyen kegemarannya, dia terpaksa menterbalikkan TV tersebut. Itu menyebabkan ahli keluarga lain tidak boleh menonton rancangan tersebut dengan tenang.

Pakar dari Universiti Harvard dan Massachusetts Institute of Technology yang meneliti kes yang dialami oleh Bojana Danilovic ini mendapati gadis tersebut menghidap sejenis penyakit yang jarang berlaku dipanggil ‘spatial orientation phenomenon’. Ia berlaku apabila dia menganggap pandangannya itu sudah betul, sedangkan imej yang sebenarnya telah diterbalikkan oleh otaknya.

Walaupun ramai yang melihatnya sebagai seorang yang unik dan luar biasa, namun bagi Bojana ia adalah normal. Baginya, apa yang berbeza hanyalah cara dia melihat dunia. Bahkan dia selesa melihat dunia dengan cara ‘terbalik’ begitu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*