Hayun ke luar tingkap, ibu mengalir air mata dituduh dera anak 5 tahun

Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera anak perempuannya berusia lima tahun lapan bulan pada dua minggu lalu.

Tertuduh, Norulhuda Sufia Muda, 26, mengalirkan air mata sewaktu membuat pengakuan tidak bersalah selepas kertas pertuduhan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Hakim Wan Suhaila kemudiannya memerintahkan Norulhuda yang ibu kepada empat anak menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak.

Berdasarkan pertuduhan, Norulhuda didakwa menganiaya anak perempuannya yang berumur lima tahun lapan bulan dengan menarik rambut dan kepala, mengangkat dan menghayun badan kanak-kanak itu sehingga terjatuh ke luar rumah dari tingkap.

Perbuatan yang didakwa dilakukan tertuduh itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di rumahnya di Air Jabor Kubur di sini pada pukul 2 petang, 13 Julai lalu.

Norulhuda didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

15 Julai lalu dilaporkan Norulhuda dan suaminya yang berusia 36 tahun ditahan selepas disyaki mendera mangsa dan anak lelaki berusia tujuh tahun.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*