Harga runcit bagi diesel turun buat minggu ketiga berturut-turut.
Mulai tengah malam ini harga jualan bagi bahan bakar itu dijual pada kadar RM3.23 sen seliter dan akan berlanjutan sehingga 28 Ogos nanti.
Menurut Kementerian Kewangan, pengurangan sebanyak 2 sen berbanding harga semasa itu dibuat seiring dengan perubahan harga pasaran minyak dunia.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaraskan harga runcit diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga,” kata kementerian itu dalam kenyataan petang semalam.
Tambahnya, berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula automatic pricing mechanism (mekanisme harga automatik) harga runcit produk petroleum bagi tempoh 22 Ogos 2024 hingga 28 Ogos 2024 ditetapkan seperti berikut:
(i) Harga runcit petrol RON97 kekal pada paras RM3.47 seliter;
(ii) Harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter;
(iii) Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan 2 sen kepada RM3 .23 seliter; dan
(iv) Harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Kali pertama harga diesel turun sejak penyasaran subsidi dilaksanakan ialah pada 8 hingga 14 Ogos lalu. Pada minggu itu harga diesel ditetapkan RM3.30 seliter berbanding 5 sen lebih mahal sebelumnya.
Harga itu kemudian turun lagi 5 sen pada minggu berikutnya iaitu 15 hingga 21 Ogos menjadikan kadar jualan runcit diesel menjadi RM3.25 seliter.
Turut baca :
Leave a Reply