HANYA kerana tidak mahir siang ikan, dua pengacara wanita sebuah televisyen mendapat kecaman bertalu-talu.
Siaran langsung program tersebut dijadikan alat untuk segelintir netizen untuk mengutuk dan mencerca seolah-olah pengacara tersebut membuat kesalahan besar.
Ada yang mengejek kononnya harapkan wajah sahaja cantik, namun tidak pandai siang ikan. Malah, ada yang juga yang mengaitkan apa guna diberikan hantaran mahal jika kerja di dapur pun tidak pandai nak buat.
Pelbagai lagi sindiran dan kata-kata yang menusuk kalbu, seolah-olah perbuatan tersebut tidak seharusnya berlaku.
Bagi anda yang menonton penuh video tersebut pasti tahu yang awal-awal lagi, salah seorang pengacara tersebut mengakui tidak pandai untuk siang ikan.
Bahkan, mereka juga mengatakan pisau yang diberikan agak tumpul dan meminta gunting untuk digunakan.
Mungkin ada yang tidak tahu, selain pisau, gunting juga antara alat yang memudahkan kerja menyiang ikan.
Namun, disebabkan ada pihak yang sengaja mahu mencipta kontroversi dan ingin mengundang kecaman netizen terhadap pengacara tersebut, maka video tersebut dipotong dan diambil bahagian yang menampakkan wanita berkenaan terkial-kial menyiang ikan.
Sejujurnya, Cik Bibir Merah sendiri tidak mahir siang ikan, terutama ikan besar. Biasanya, jika ke pasar membeli barangan basah, Cik Bibir Merah akan meminta penjual untuk siang siap-siap baik ikan mahupun ayam.
Malah, bukan hanya Cik Bibir Merah, ramai lagi wanita di luar sana berbuat demikian. Selain tidak mahir siang ikan, cara itu juga menjimatkan masa.
Apabila balik rumah, hanya perlu cuci bersih dan sedia untuk dimasak. Mudah, bukan? Justeru, kenapa perlu menyindir atau mencerca kepada mereka yang tidak pandai siang ikan?
Kehidupan berumahtangga zaman sekarang tidak sama dengan ibu bapa kita dahulu. Jika para ibu cukup mahir dan ligat di dapaur, sang isteri masa kini masanya banyak di luar kerana turut sama mencari rezeki membantu suami.
Justeru, soal menyiang ikan bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan isu besar. Banyak lagi hal lain yang patut dititikberatkan.
Tertanya-tanya dalam diri Cik Bibir Merah, bagaimana pandangan segelintir msyarakat andai ia berlaku kepada pengacara lelaki, adakah mereka akan ditertawakan sedemikian?
Turut baca :
- {VIDEO} “Kau ingat aku ni robot…” Tak puas hati asyik di arah buat kerja, ‘guard’ muda nekad tikam senior 31 kali
- {VIDEO} “Sepandai-pandai tupai…” Pura-pura mahu solat tahajud, lelaki hampir larikan RM500 dicekup
Rasa ralat dan kecewa apabila membaca komen menghentam dua pengacara itu datangnya daripada kaum wanita sendiri. Seolah-olah diri mereka itu terpaling hebat dalam segala hal.
Mudah kata, tak pandai boleh belajar. Sekarang ini semua info dihujung jari sahaja. Buka YouTube, Instagram atau Facebook, semua yang anda inginkan ada. Kalau tak mahu belajar pun tidak mengapa. Minta sahaja penjual tolong siangkan. Habis cerita.
Memetik perkongsian Cikgu Mohd Fadli Salleh menerusi laman Facebooknya berkata: Antara isteri tak pandai siang ikan dan suami tak boleh jadi imam serta tak betul bacaan Fatihahnya, lebih besar mudarat dan memalukan si suami itu.
Anak-anak muda, betulkan bacaan Fatihah dan hafal surah lazim. Belajar tajwid dan beranikan diri jadi imam untuk isteri dan anak-anak kita.
Wajib hukumnya betulkan bacaan Fatihah itu.
Tak pandai siang ikan, boleh makan kat restoran atau suruh siang siap-siap kat kedai.
Tak betul bacaan Fatihah, solat tak sah.
Cik Bibir Merah: Makanya, tepuk dada tanya iman anda!
Leave a Reply