Hanya 200 ahli pembangkang, NGO sertai Himpunan Bangkit Ummah

Kira-kira 200 ahli pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai ‘Himpunan Bangkit Ummah’ untuk membantah pihak yang didakwa mengganggu-gugat keharmonian umat Islam di Malaysia.

Himpunan anjuran Pemuda PAS, Bersatu dan beberapa NGO bermula di Masjid Jamek, Kampung Baru selepas solat Jumaat disusuli perarakan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membuat laporan polis.

Peserta berarak membawa plakad ‘Jangan Ganggu Islam’ dan ‘DAP Mesti Hormat Perlembagaan’ sambil diiringi laungan ‘Tolak DAP’, ‘Hancur DAP’, ‘Pecat Hannah’ dan ‘Pecat Nga’.

Antara pemimpin Perikatan Nasional (PN) hadir adalah Timbalan Ketua Pemuda PAS Mohd Hafez Sabri, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz dan Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Harris Idaham Rashid.

Turut hadir Ketua Penerangan Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali dan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Mohd Zai Mustaffa.

Hafez ketika ditemui pemberita berkata laporan polis dibuat terhadap Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming kerana mendakwa tindakan serta perbuatan mereka telah mengganggu keharmonian umat Islam.

Menurutnya, laporan terhadap Yeoh dibuat susulan penerbitan buku berjudul ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ yang didakwa mengandungi unsur penyebaran agama Kristian secara halus manakala Nga pula dituduh mengadakan sambutan Krismas di pejabat kerajaan.

“Himpunan ini memberi peringatan tegas kepada DAP supaya jangan ganggu gugat umat Islam negara ini,” katanya.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*