Seorang gadis yang parah akibat dihempap kayu balak di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, di sini pada 9 Julai lalu semakin pulih selepas hampir sebulan bertarung nyawa di hospital.
Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, dibenarkan keluar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu pada 7 Ogos lalu selepas ditidurkan beberapa kali semasa menjalani rawatan.
Jurujual itu ketika ini sudah boleh menjalani kehidupan seperti biasa meskipun beberapa organ dalaman seperti hati, paru-paru dan buah pinggang hampir rosak termasuk patah pada lima batang tulang rusuk dan belakang.
Siti Norelyana berkata, dia tidak pernah menyangka dapat kembali hidup meskipun sudah berada di ambang maut selepas kejadian tersebut.
“Berkat doa ahli keluarga, tunang dan seluruh rakyat Malaysia, Allah SWT memberi peluang kepada saya untuk terus bernafas dan menikmati kehidupan.
“Saya rasa seperti mati dan hidup semula. Melihat kepada apa yang berlaku, ramai beranggapan peluang untuk saya hidup agak tipis, namun kuasa Allah SWT menentukan segalanya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Paloh,di sini hari ini.
Siti Norelyana yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik itu turut mengakui masih trauma dengan peristiwa tersebut dan menjadi takut setiap kali melihat lori balak yang berada di tengah jalan.
“Jadi, saya terpaksa tinggal di rumah kakak di (Paloh 3) kerana rumah ibu di Simpang Aring, Ciku 4 terletak di tepi jalan raya. Keadaan trauma itu juga menyebabkan saya menangguhkan perkahwinan dengan tunang Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22, yang sepatutnya pada Disember ini ke tahun depan,” ujarnya.
Sementara itu, ibu Siti Norelyana, Miskalsom Domea, 59, berkata, dia sangat bersyukur melihat anaknya semakin pulih.
“Semasa dirawat di HRPZ II, doktor setiap hari kata dia kritikal, tetapi stabil. Sebagai ibu, saya tetap berdoa agar Siti Norelyana selamat ketika ramai yang menyangka dia tidak mampu bertahan. Alhamdulillah, dia sembuh dan boleh meneruskan kehidupan seperti biasa meskipun masih trauma,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang wanita terselamat daripada ajal selepas motosikal yang dia tunggang dihempap muatan kayu balak dari sebuah lori ketika melalui selekoh di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini pada 9 Julai lalu.
Dalam kejadian pada pukul 11.23 pagi itu, Siti Norelyana yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di sini dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
Mangsa ketika itu sedang dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di Bandar Utama Gua Musang di sini.
Siti Norelyana kemudian dipindahkan ke HRPZ II sebelum beberapa kali ditidurkan semasa menjalani rawatan.
Siasatan polis mendapati, penyambung atau cakera putar lori yang patah dipercayai menjadi punca kayu balak terjatuh sebelum menghempap mangsa.
Turut baca :
Leave a Reply