Seorang guru lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki berusia 16 tahun, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Fuad Abd. Wahab, 33, mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah dan Hakim Haderiah Siri.
Berdasarkan kesemua kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak lelaki.
Kesalahan itu dilakukan di antara pukul 8 pagi dan 11.30 malam di tiga lokasi berbeza iaitu di dalam bilik pengawas blok A aras satu sebuah sekolah menengah, di dalam kereta tertuduh dan di dalam bilik sebuah rumah di Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah pada 1 November 2022 hingga 18 September 2023.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM28,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan memerintahkan lelaki itu hadir pada setiap sebutan kes.
Mahkamah menetapkan tarikh 14 Februari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Baca juga :
Leave a Reply