Guna pili : Siti Zailah kata dapat kebenaran, Bomba Kelantan, AKSB nafi terima permohonan

Jabatan Bomba Kelantan dan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengesahkan pihak mereka tidak menerima sebarang permohonan daripada Ahli Parlimen di negeri itu untuk mengambil air daripada pili bomba.

Pengarah Bomba Kelantan Zainal Madasain, susulan itu pihaknya sudah “membuat laporan bagi siasatan lanjut”.

“Pihak kami tidak terima sebarang permohonan daripada YB (Ahli Parlimen) untuk ambil air daripada pili bomba. Terus terang saya cakap.

“Saya juga hubungi pengurus besar AKSB dan beliau maklumkan pihaknya juga tiada terima permohonan daripada YB.

“Kita sudah buat laporan bagi siasatan lanjut berkait perkara ini,” katanya menurut Berita Harian.

Terdahulu, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff menafikan dakwaan beliau mencuri air dari pili bomba sebaliknya menegaskan mendapat kebenaran mengambil air dari sumber itu.

Zailah berkata, beliau juga memaklumkan kepada Balai Bomba Rantau Panjang dan mendapat bantuan dari anggota bomba yang membantunya membuka pili serta menyalurkan air ke dalam lori.

Katanya, beliau pada mulanya berbincang dengan AKSB mengenai masalah air dan syarikat itu mencadangkan untuk mengambil air dari sumber berdekatan kerana jarak loji air terlalu jauh dari Parlimen Rantau Panjang.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*