Guna dana negara selesai ‘keresahan’ rakyat – Salahuddin.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan, mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat bukan kehendak rakyat.
Menurutnya, rakyat kini hanya mahukan harga barang dikawal, jaminan makanan cukup dan bekalan terkawal serta mencukupi.
“Polemik ini tidak wajar dipanjangkan dan diteruskan kerana keresahan rakyat yang utama pada ketika ini adalah soal mencari sesuap nasi, menjelaskan hutang dan bebanan kewangan serta harga barangan yang mencanak naik dan merisaukan peniaga-peniaga kecil serta pengguna,” katanya.
Ahli Parlimen Pulai itu juga berkata, mengadakan PRU dalam waktu terdekat akan menelan perbelanjaan sehingga ratusan juta ringgit.
“Adalah lebih baik sekiranya wang negara digunakan untuk manfaat rakyat yang sedang dihimpit kesusahan, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.
Sebelum ini, ramai pemimpin politik terutama dalam kalangan parti UMNO menggesa agar PRU dapat diadakan dengan segera.
Namun demikian, perkara tersebut mendapat respon negatif di kalangan pembangkang dengan menyatakan agar kerajaan dapat memfokuskan kepada masalah rakyat terlebih dahulu.
Turut baca
Leave a Reply