Guan Eng : Tak bangkitkan isu pengecualian cukai di kabinet suatu tindakan ‘terdesak’ Muhyiddin

Lim Guan Eng mempersoalkan mengapa Muhyiddin Yassin tidak membangkitkan isu dakwaan pembatalan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary sedangkan mereka berdua adalah sebahagian daripada kabinet pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Dalam jawapannya kepada pernyataan pembelaan Muhyiddin terhadap saman fitnahnya, Lim mempersoalkan masa dakwaan itu dibangkitkan ketika bekas menteri dalam negeri (Muhyiddin) itu menghadapi kes mahkamah jenayah awal tahun ini.

Plaintif yang merupakan bekas menteri kewangan berhujah bahawa defendan Muhyiddin adalah menteri dalam negeri antara 2018 dan 2020 semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Fakta bahawa defendan tidak membangkitkan sebarang isu berkaitan dengan dakwaan pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Al-Bukhary sebelum ini tetapi hanya sekarang membangkitkan isu tersebut ketika defendan menghadapi pertuduhan-pertuduhan jenayah tidak lebih daripada satu aksi politik.

“Ia juga merupakan percubaan terdesak defendan untuk mengalih perhatian orang ramai daripada tuduhan jenayah dan kesalahan jenayahnya dengan meletakkan kesalahan ke atas plaintif dengan mendakwa plaintif yang menyebabkan pengecualian cukai Yayasan Al-Bukhary,” kata bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

Menjawab dakwaan Muhyiddin bahawa Lim perlu membuktikan di mahkamah bahawa Kementerian Kewangan tidak membatalkan status pengecualian cukai, Ahli Parlimen Bagan itu berkata bahawa undang-undang saman fitnah meletakkan beban kepada defendan untuk membuktikan dakwaan pembatalan itu.

Dalam pernyataan pembelaannya, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu, yang menjadi perdana menteri semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dari 2020 hingga 2021, menyatakan keraguannya terhadap kebenaran kenyataan Kementerian Kewangan yang dikeluarkan pada Mac mengatakan kementerian mahupun pegawainya tidak membatalkan pengecualian itu.

Pengerusi PN itu juga mendakwa bahawa kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Parlimen – bahawa tiada rekod Lim telah membatalkan status pengecualian cukai yayasan itu – adalah “tidak relevan sama sekali” dan pemesongan semata-mata supaya pengerusi DAP itu tidak akan dipertanggungjawabkan ke atas keputusan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenai isu tersebut.

Pada 27 Mac, Lim memfailkan saman fitnah berhubung dakwaan Muhyiddin.

Tindakan sivil itu difailkan selepas bekas perdana menteri itu mendakwa Lim bertanggungjawab dengan pembatalan pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*