Gempar! Lima sekolah swasta di Johor terima ancaman bom

Lima buah sekolah swasta di tiga daerah di negeri ini menerima ugutan bom menerusi e-mel, hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat selepas pihaknya menerima lima laporan antara pukul 11 pagi hingga 6.18 petang semalam.

Beliau berkata, tiga sekolah swasta itu di Masai, Permas Jaya dan Iskandar serta masing-masing sebuah di Kulai dan Muar.

Katanya, e-mel yang diterima pihak pentadbiran sekolah terbabit bertajuk ‘bahan letupan telah ditanam di sekolah’ hingga menimbulkan kegusaran.

“Bertindak atas maklumat itu, pasukan polis terdiri daripada Unit Pemusnah Bom (UPB), unit cawangan khas daerah,

pegawai perhubungan sekolah (PPS) dan Unit Anjing Pengesan (K9) telah diatur gerak ke lokasi-lokasi terbabit untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Pemeriksaan yang dijalankan di keseluruhan bangunan sekolah tersebut mendapati tidak ada terkesan sebarang objek yang mencurigakan serta kawasan adalah selamat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pada bulan lalu, sebuah pusat beli-belah dan hotel ternama di Johor Bahru menerima panggilan ancaman keselamatan oleh lelaki yang mendakwa telah meletakkan bom di premis tersebut.

Turut baca :   Cubaan terjun hospital berjaya digagalkan abang bomba

Ancaman keselamatan itu menimbulkan suasana panik di pusat beli-belah itu selepas lebih 9,000 pengunjung serta pekerja terpaksa mengosongkan bangunan tersebut.

Pemeriksaan secara menyeluruh oleh sepasukan 92 pegawai kanan dan anggota polis termasuk dua unit anjing pengesan K9 dan unit pemusnah bom hampir enam jam itu tidak menemukan sebarang objek yang mencurigakan.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, pihak polis masih lagi berada di sekolah terbabit untuk menjalankan pemerhatian lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis Kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu-gugat ketenteraman awam,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*