‘Gembira’ dengan kemangkatan Ratu Elizabeth, pemilik restoran undang padah

‘Gembira’ dengan kemangkatan Ratu Elizabeth, pemilik restoran undang padah. Seorang pemilik restoran yang meraikan berita kemangkatan Ratu Elizabeth II dengan membuka sebotol champagne sambil menjerit ‘Lizard Liz sudah mati’, terpaksa menanggung kerugian selepas tingkap restorannya dipecah akibat perbuatannya yang menyinggung perasaan ramai.

Lapor Daily Mail, gambar mengenai perbuatan vandalisme itu menunjukkan bahagian hadapan restoran dengan tingkap pecah dan lubang di tengah.

Penduduk setempat turut membaling telur dan tomato pada bahagian depan premis yang terletak di Muir of Ord, Highlands di Scotland.

Terdahulu, tular satu video menunjukkan pemilik restoran Jaki’s Fish and Chip Shop, Jaki Pickett memegang sepanduk yang tertera ‘London Bridge has fallen’ dengan emoji muka tersenyum.

Pickett memuat naik rakaman video memaparkannya sedang gembira meraikan berita kemangkatan Ratu Elizabeth, di laman Facebook.

Bagaimanapun, ia menimbulkan kemarahan orang ramai dengan rata-rata penduduk mengecam Pickett kerana tidak menghormati mendiang Ratu Elizabeth.

Berita mengenai perbuatan vandalisme dikongsikan di Twitter, berserta sekeping gambar kerosakan restoran dan kapsyen tertera: `Restoran Jaki’s sudah dirosakkan lagi’.

Pengguna Twitter memberi pelbagai reaksi termasuk sebahagian besar mengecam vandalisme itu.

“Apa yang dilakukannya adalah keji namun perbuatan keganasan dan ancaman bunuh tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis Scotland berkata, pihaknya menerima aduan berhubung insiden itu dan siasatan sedang dijalankan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*