“Gelombang keganasan melanda AS…” Nyawa ‘jadi murah’, hampir setiap hari kes tembakan

Seramai tiga pelanggan di sebuah medan selera di Pusat Beli-Belah Greenwood, Indiana terbunuh, manakala dua individu lain mengalami kecederaan dalam insiden tembakan.

Ketua Polis Greenwood, Jim Ison berkata, serangan dipercayai dilakukan oleh seorang lelaki yang bertindak bersendirian dengan membawa selaras senapang dan beberapa butir peluru.

Jelasnya, pihak polis juga memberitahu penyerang itu maut selepas ditembak oleh orang awam yang mempunyai senjata dan melihat insiden berkenaan.

Polis bagaimanapun tidak mendedahkan butiran nama mangsa, lelaki bersenjata mahupun orang awam yang terbabit.

Ketika kejadian, pengunjung serta pekerja pusat beli-belah lari bertempiaran dan bersembunyi selepas mendengar bunyi tembakan.

Polis di Greenwood turut memuat naik perkongsian dalam Facebook bagi meminta saksi kejadian tembakan yang mempunyai maklumat menghubungi pihak berkuasa dan tampil kedepan.

ANGGOTA polis mengawal keselamatan selepas insiden tembakan di Pusat Beli-Belah Greenwood, Indiana.

Serangan tembakan terkini itu mencetuskan lagi gelombang keganasan senjata api yang melanda Amerika Syarikat (AS).

Menurut Arkib Keganasan Senjata, hampir 40,000 kematian berlaku dalam setahun disebabkan serangan senjata api.

Insiden itu berlaku hanya beberapa minggu selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan semasa acara perarakan 4 Julai lalu, di pinggir bandar Chicago sehingga tujuh pengunjung terbunuh.

Mei lalu, seramai 10 individu kulit hitam ditembak mati di Pasar Raya di New York, manakala 19 kanak-kanak dan dua guru terbunuh di sebuah sekolah rendah di Texas.

Lonjakan kes keganasan senjata api menghidupkan semula perdebatan mengenai peraturan pemilikan senjata api.

Minggu ini, sebuah Jawatankuasa Dewan Perwakilan AS akan mengundi buat kali pertama dalam tempoh hampir 20 tahun mengenai rang undang-undang yang akan mengharamkan pemilikan senjata api.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*