Gelaran ‘Wak Jeng’ akhirnya terjawab. Nama Kugiran Wak Jeng dipilih bukan kerana mengikut trend semasa, tetapi berdasarkan nama panggilan penyanyi dan ketua kumpulan itu, Mohamad Shafiq Selamat, 30, sejak sekolah.
Mohamad Shafiq berkata, gelaran Wak Jeng diberikan seorang guru kepadanya ketika dia bersekolah rendah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pelajar
“Saya berusia 11 tahun waktu itu dan menyertai satu pasukan bola sepak yang ada tiga nama sama. Kemudian cikgu mesyuarat dan berikan nama gelaran masing-masing. Saya akhirnya dipanggil Wak Jeng.
“Sejak itu kawan-kawan mula panggil saya dengan nama ini sehingga apabila buat band, saya gunakan nama Kugiran Wak Jeng. Selepas itu, kita ada nama Wak Mustar dan Wak Dan yang aktif sebagai penyanyi
“Nama ini secara kebetulan sahaja. Kami di kampung asal ada slang Jawa sikit akan diletak nama Wak di depan. Jadi, saya bukan ikut trend. Saya okay dipanggil Wak Jeng walaupun usia saya masih muda,” katanya.
Selain Wak Jeng, Kugiran Wak Jeng turut dianggotai Mohamad Sahri Selamat, Nurliyana Mohd Faudzi, Mohd Fauzi Haron, Mohd Fhariz Jofri dan Asnah Ali.
Kumpulan berasal dari Batu Pahat, Johor ini mula dikenali ramai ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kugiran Wak Jeng sering muncul dan tidak jemu menghiburkan masyarakat secara dalam talian terutama di Facebook.
Penampilan mereka yang berkain pelekat sambil menyanyi di serambi rumah kampung dengan lagu genre 60-an mendapat perhatian peminat di seluruh negara.
Wak Jeng berkata, mereka bersyukur kerana sering diundang menjayakan persembahan pentas dan mengadakan konsert sendiri pada 1 Jun ini.
“Sejak kemunculan itu, kami sering diundang beraksi di Johor dan di Kuala Lumpur. Masyarakat terima bakat kami dengan baik.
“Alhamdulillah, selepas beberapa kali beraksi dalam persembahan anjuran pihak lain, kami akhirnya akan beraksi dalam konsert sendiri selepas ini. Semoga ia dapat sokongan peminat,” katanya.
Konsert dinamakan Konsert Oh Irama Oh Nyawa Kugiran Wak Jeng diinspirasikan dan diambil dari salah satu nama lagu dari album pertama mereka.
Konsert anjuran ChintaKarya Production akan berlangsung di Warisan Hall Studio, Sijangkang, Selangor pada jam 9 malam.
Turut baca :
Leave a Reply