Gelar PM banduan, Hadi Awang dinasihat cermin diri

Gelar PM banduan, Hadi Awang dinasihat cermin diri.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menempelak Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa merendahkan Pakatan Harapan sebagai sebuah gabungan yang dipimpin banduan, dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

AMK dalam kenyataan berkata, Presiden Pas itu sengaja menggunakan gelaran banduan dengan tujuan merendah-rendahkan seseorang itu.

Kenyataan itu menyebut, ia bukan kali pertama beliau menyerang Perdana Menteri dengan gelaran sedemikian, malah sejak bertahun lalu menjadi label yang paling digemarinya untuk digunakan ke atas Perdana Menteri.

“Abdul Hadi sendiri pernah mengatakan bahawa pemenjaraan ke atas dirinya adalah lebih baik berbanding membayar denda.

“Ertinya beliau sendiri sedia untuk memakai gelar banduan, maka apa masalahnya dengan Anwar sebagai bekas banduan?

“Sudah tertulis Perdana Menteri kita hari ini adalah antara insan yang diuji dengan tohmah dan fitnah sehingga terpenjara dalam jalan perjuangannya sebelum diangkat darjat untuk memimpin negara. Seharusnya ia jadi pedoman besar buat kita, bukan untuk direndah-rendahkan,” ujar kenyataan itu.

AMK menasihati Abdul Hadi supaya bermuhasabah diri kerana sebagai seseorang yang digelar ulama dan pendakwah, beliau tidak seharusnya merendah-rendahkan takdir dan nasib seseorang yang diketahui sendiri olehnya sebagai orang yang dizalimi.

“…tekuni dengan semulia hati, bukan dengan penuh nafsu politik dan hasad dengki. Bukan itu sifat orang alim dalam jalan dakwah.

“Tidak terhakis pun rasanya taat dan patuh pendokong Haji Hadi di dalam Pas andai tutur kata yang lebih baik terbit berbanding cerca dan hina ke atas lawan politik.

“Jika terus-terusan begini, janganlah rasa terkesan pula apabila masyarakat hari ini makin ramai yang mempertikai apakah benar Haji Hadi ini seorang ulama,” katanya lagi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*