Gelar ‘anak papa’ punca kecoh, MP Pendang diarah keluar Dewan

Sidang dewan rakyat hari ini tertangguh lebih 15 minit akibat kekecohan yang berlaku apabila Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim menyebut perkataan ‘anak papa’ setelah Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari mengemukakan usul.

Kekecohan itu bermula apabila Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bangun dan mempersoalkan isu yang dihantar olehnya pada hari Selasa masih belum dijawab sedangkan usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani pada Rabu telah pun diberi jawapan pada hari ini.

“Saya hantar usul hari Selasa tetapi dinafikan hak untuk dijawab. Saya tahu saya bukan dari sana (pihak kerajaan),” ujar Shahidan dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Rentetan itu, Ahli Parlimen Pendang menyebut ‘anak papa’ terhadap Ahli Parlimen Sungai Petani sekali gus menimbulkan kemarahan daripada pihak kerajaan, antaranya Ahli Parlimen Jelutong, Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan dan Ahli Parlimen Batu, Prabakaran Parameswaran yang menggesa Awang untuk menarik balik perkataan tersebut.

Walau bagaimanapun Ahli Parlimen Pendang berkeras untuk tidak menarik balik perkataan tersebut walaupun telah diarahkan oleh Timbalan Speaker, Alice Lau beberapa kali.

“Semua anak papa, yang terasa kenapa. Semua ada bapa. Saya pun anak bapa. Kalau tak ada kena mengena, tak perlu sebutlah,” ujar Ahli Parlimen Pendang.

Terdahulu, Di-Pertua Dewan Rakyat mengarahkan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor untuk mempertimbangkan usul Ahli Parlimen Sungai Petani untuk menyegerakan penyiasatan isu penyorokkan beras tempatan yang disita pada 9 Oktober lalu.

Mohammed Taufiq berkata, isu penyorokkan beras berskala besar ini memberi kesan dan menjejaskan ramai rakyat kerana ia merupakan makanan ruji yang menjadi kepentingan orang ramai.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*