Gara-gara takut dihubungi lelaki menyamar polis Bukit Aman, suri rumah lesap RM300,000

SEORANG suri rumah mengalami kerugian berjumlah RM300,000 selepas ditipu oleh individu mendakwa dirinya sebagai pegawai kanan polis dari Bukit Aman, dalam kejadian di Johor Bahru, Johor.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata wanita berusia 49 tahun itu membuat laporan polis pada Isnin.

“Pada 15 November lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai dari Unit Risikan Bukit Aman, selain turut membawa gelaran Datuk.

“Suspek memberitahu mangsa bahawa kad pengenalannya disalahgunakan oleh seorang lelaki bagi aktiviti jenayah iaitu menggelapkan wang dan penyeludupan dadah dan dia sudah ditahan polis,” ujar Mohd Sohaimi pada Selasa.

Tambahnya lagi, suspek meminta mangsa untuk pergi ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah kerana mendakwa sudah ada waran tangkap yang dikeluarkan terhadap namanya.

“Bagaimanapun suspek berjaya meyakinkan mangsa bahawa urusan boleh menjadi lebih mudah dan namanya dibersihkan daripada rekod jenayah sekiranya dia membuat pembayaran.

“Mempercayai sepenuhnya kata-kata suspek, mangsa membuat enam transaksi daripada satu akaun ke akaun suspek, bermula 21 November hingga 26 November yang berjumlah RM300,000,” katanya.

Menurut Mohd Sohaimi, sepanjang tempoh itu, mangsa diarahkan untuk memaklumkan kepada suspek setiap pergerakan dan lokasi keberadaannya.

Mangsa juga diminta oleh suspek untuk memadam setiap slip transaksi dan rekod perbualan antara mereka berdua.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas melihat video tentang sindiket penipuan yang dikongsikan salah seorang anaknya, mangsa kemudian membuat laporan polis,” ujar Mohd Sohaimi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 424 akta sama.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*