Gara-gara gemar mempamerkan kekayaan di media sosial, seorang Ketua Pengarah Kesihatan di Indonesia dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) untuk mengisytiharkan hartanya.
KP Kesihatan Lampung, Reihana dilapor menjadi bualan warganet selepas dilihat memuat naik gambarnya di media sosial sambil memakai barangan mewah dan jenama terkenal.
Salah satunya, beg tangan Hermes Birkin koleksi 40 Togo Rauge Tornate yang menelan kos ratusan juta rupiah.
Lapor laman berita Agensi, dalam foto berkenaan juga Reihana tampil mengenakan kemeja jenama Louis Vuitton yang dipadankan dengan skirt labuh.
Kelmarin, Reihana dilaporkan tiba di pejabat KPK untuk menjelaskan mengenai asetnya namun enggan menjawab sebarang soalan media sebaliknya menyerahkan kepada agensi pencegahan rasuah itu untuk memberi kenyataan berhubung siasatannya.
Dalam pada itu, KPK berkata, pihaknya akan memanggil kembali Reihana berhubung kekeliruan jumlah harta yang diisytiharkannya kelmarin.
Timbalan Pencegah dan Pemantauan KPK Pahala Nainggolan berkata, pihaknya perlu mendapatkan maklumat lebih jelas kerana Laporan Harta Kekayaan Pegawai Negeri (LHKPN) yang dihantar Reihana dibuat oleh kakitangannya.
“Kelmarin, ternyata LHKPN dibuat oleh petugas. Jadi, lima tahun jumlahnya tidak berubah, dan Reihana tidak tahu
.“Sebab itu kami memanggilnya semula kerana beliau juga tidak yakin dengan angka itu. Kedua, beberapa akaun bank tidak dilaporkan,” katanya seperti dilapor laman berita itu.
Leave a Reply