Gara-gara keceluparan mulut ahli politik pembangkang, Parlimen bertukar jadi gelanggang gusti

BEBERAPA ahli Parlimen Turkiye cedera selepas terlibat dalam pergaduhan yang tercetus ekoran keceluparan mulut ahli politik pembangkang.

Kejadian yang berlaku pada sidang Parlimen pada Jumaat itu bermula apabila ketika perbahasan mengenai seorang wakil pembangkang yang kini dipenjarakan atas pertuduhan yang dianggap bermotifkan politik.

Video pergaduhan yang berlaku di Dewan Agung Nasional Turkiye itu turut tular di laman media sosial pada hari yang sama.

Melalui klip berdurasi lebih seminit itu memaparkan ahli Parlimen, Alpay Ozalan dari parti pemerintah Presiden Recep Tayyip Erdogan menumbuk wakil parti pembangkang, Ahmet Sik ketika berbahas.

Difahamkan, ahli Parlimen dari Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) bertindak sedemikian selepas Sik melabel parti pemerintah sebagai ‘organisasi pengganas’.

“Kami tidak terkejut apabila anda memanggil Can Atalay seorang pengganas, sama seperti yang anda lakukan terhadap sesiapa sahaja yang tidak menyebelahi anda,” kata Sik kepada ahli Parlimen AKP ketika berbahas.

“Tetapi pengganas terbesar adalah mereka yang duduk di kerusi ini,” tambahnya.

Keadaan menjadi lebih meruncing selepas beberapa anggota Parlimen yang lain turut membuat kecoh dengan bertindak ganas.

Malah dalam pergaduhan itu, seorang ahli Parlimen wanita dipukul sehingga cedera sekali gus, meninggalkan titisan darah di tangga putih yang menuju ke pentas.

Seorang lagi ahli pembangkang juga dilaporkan cedera.

Sementara itu, ketua parti pembangkang Parti Rakyat Republik (CHP) Ozgur Ozel menyifatkan situasi tersebut sebagai sesuatu yang memalukan.

“Ia adalah situasi yang memalukan. Daripada kata-kata yang dilontarkan, tumbukan, ada darah di atas lantai. Mereka memukul wanita,” katanya.

Pengerusi kumpulan parti pro-Kurdi DEM, Gulistan Kocyigit pula berkata, parti pemerintah cuba menutup mulut pembangkang dengan keganasan.

“Jelas bahawa mereka datang dengan persediaan dan rancangan… Mereka cuba menutup ucapan dan suara kami dengan tekanan, keganasan dan kekerasan,” katanya memetik laporan Reuters.

Difahamkan, Kocyigit juga ditumbuk ahli Parlimen yang lain ketika kekecohan tercetus.

Untuk makluman, sesi yang diadakan pada Jumaat itu untuk membahaskan kes Can Atalay, yang dipilih dari penjara sebagai wakil Parlimen bagi Parti Pekerja Turki (TIP), dalam pilihan raya tahun lalu.

Atalay telah dijatuhi hukuman penjara 18 tahun pada tahun sebelumnya kerana peranannya dalam protes anti-kerajaan pada tahun 2013, yang mencabar pemerintahan Erdogan, yang ketika itu adalah Perdana Menteri Turkiye.

Sejak dipilih, Atalay telah berjuang untuk mendapatkan tempatnya di Parlimen menerusi kekebalan daripada pendakwaan dan berpeluang dibebaskan dari penjara Marmara.

Beliau telah menyatakan bahawa beliau akan kembali ke penjara sebaik sahaja tempoh berkhidmatnya di Parlimen berakhir.

Walaupun beliau keputusan Mahkamah Persekutuan memihak kepadanya tetapi mahkamah rendah enggan menerimanya, sekali gus mencetuskan krisis kehakiman dan membuatkan penyokongnya berasa tidak adil.

Dalam keputusan ketiga yang memihak kepada Atalay, Mahkamah Perlembagaan pada 1 Ogos berkata, keputusan untuk melucutkan status ahli Parlimennya adalah batal dan tidak sah.

Parti-parti pembangkang kemudian menuntut sesi khas untuk membincangkan kes tersebut.

Hukuman yang dikenakan terhadap Atalay dan tujuh lagi defendan dalam kes Gezi Park mengundang kritikan meluas daripada kumpulan hak asasi manusia dan peguam.

Defendan utama, Osman Kavala, dipenjarakan seumur hidup tanpa parol.

Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah berulang kali menggesa agar beliau dibebaskan, dengan menyatakan penahanannya bermotikan politik.

Protes Gezi Park bermula pada musim panas 2013 dengan kem alam sekitar untuk menghentikan pembangunan sebuah taman di tengah Istanbul.

Ketidakpuasan hati itu kemudiannya merebak ke bandar-bandar lain apabila orang ramai memprotes pemerintahan Erdogan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*