Peniaga yang didapati sengaja menjual harga gula melebihi harga kawalan, menyorok bekalan dan menetapkan pembelian gula secara bersyarat, bakal berdepan tindakan dikompaun, lesen digantung atau lesen disenarai hitam serta-merta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata ketegasan itu perlu dibuat berikutan tindakan mereka menjejaskan bekalan dalam negara, selain pengguna terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan bekalan.
Justeru, katanya, Ops Manis yang dilancarkan bermula 3 Mei lalu sehingga kelmarin membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah, akan dilanjut sehingga 30 Jun ini serta diperluas ke seluruh negara.
“KPDN tidak akan berkompromi lagi dan akan ambil tindakan tegas serta-merta, termasuk mereka yang didapati menjual gula putih bertapis kasar secara bersyarat, termasuk gula jernih.
“Kita ada terima aduan kononnya dia (peniaga) kata boleh beli dua pek gula subsidi dengan syarat beli satu kilogram gula premium tidak bersubsidi.
“Itu pun satu kesalahan yang dilanggar dalam syarat lesen dikeluarkan itu,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Salahuddin berkata, tujuh kes membabitkan penjualan bekalan guna melebihi harga kawalan diterima setakat ini dan meminta pengguna terus berkongsi maklumat dengan KPDN jika mengesan ada peniaga dan premis perniagaan melanggar syarat jualan.
Apabila berlaku pelanggaran di mana-mana tempat, kedai atau daerah, katanya, KPDN akan mengeluarkan arahan digantung lesen dan disenarai hitam serta-merta.
“Kita tak mahu isu ini berlanjutan. Kita sudah ada libat urus dengan MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR), jumlah yang ditetapkan untuk keperluan negara mencukupi dan atas faktor itu tidak mungkin berlaku ketidakcukupan gula di pasaran.
“Kalau berlaku lagi, mereka berdepan tindakan tegas. Kita akan kompaun dan gantung lesen daripada meneruskan perniagaan pada masa akan datang,” katanya.
Salahuddin berkata, setakat kelmarin, sebanyak 2,576 premis perniagaan diperiksa oleh anggota penguat kuasa KPDN dan sejumlah 60 aduan merangkumi isu gula diterima.
“Secara keseluruhannya, bekalan gula di pasaran tidak kritikal, masih mencukupi dan stabil serta berupaya menampung permintaan semasa.
“Bagaimanapun, pihak KPDN dengan kerjasama syarikat pengeluar gula tempatan secara berterusan mengambil tindakan dan inisiatif dalam membantu mempercepatkan pengedaran bekalan dari peringkat kilang kepada pemborong dan rantaian sehingga ke peringkat pengguna akhir,” katanya.
Leave a Reply