MENGURUSKAN perniagaan memerlukan kesabaran kerana pelbagai dugaan pastinya menanti.
Antaranya menghadapi ragam staf dan menyelia kelancaran operasi daripada awal hingga akhir.
Melalui satu hantaran di TikTok, seorang wanita yang memiliki agensi pembersihan khusus untuk rumah inap dan kediaman berkongsi rasa terkilan, susulan sikap sambil lewa pekerjanya yang majoriti terdiri daripada warga tempatan.
Menurut wanita itu, dia kini lebih rela melakukan sendiri kerja bersama suami, berbanding meletakkan kepercayaan kepada pekerjanya yang umpama melepaskan batuk di tangga.
“Minta maaf la, saya sekarang lebih selesa buat kerja berdua dengan suami je. Rasa stres diri ni, ingatkan ambil staf boleh bantu ringankan kerja, tapi lain pula jadinya.
“Kisahnya macam ni, staf buat kerja dekat rumah klien, tapi tak sampai lima jam dah siap. Rupanya tergesa-gesa nak balik awal. Kemudian masuk la pelbagai aduan kurang menyenangkan daripada klien.
“Klien hubungi kami tanya… tandas saya ni awak cuci ke tak sebenarnya? Maka saya dan suami pun kena datang semula ke rumah klien untuk baiki apa yang patut. Kecewa tau apabila staf kami buat kerja tak teliti dan asal boleh je.
“Padahal kami dah bayar gaji mereka lumayan, sampai RM90 sehari. Yang bekerjanya pun ramai, bukan seorang. Buat masa ni, saya sanggup tanggung penat buat kerja berdua dengan suami supaya rating kami terjaga,” ujar wanita itu.
Tambah wanita berkenaan, sebagai majikan dia berkemungkinan akan memboikot tenaga kerja tempatan dan beralih kepada warga asing untuk diambil sebagai pekerjanya.
“Jangan marah ya kalau selepas ni kami hanya ambil pekerja warga asing untuk bekerja, kami akan buatkan terus permit untuk mereka.
“Bukan tak mahu bantu orang Malaysia, tapi ramai buat kerja tak semenggah. Sementara tu doakan kami agar sentiasa sihat tubuh badan supaya dapat terus-menerus memberikan yang terbaik kepada klien,” katanya menutup bicara.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya turut berkongsi keluhan yang sama.
“Saya pun sediakan servis kemas homestay, tak dinafikan memang susah nak cari staf yang teliti apabila buat kerja. Tapi kena terima seadanya sebab kami tak mampu nak bersihkan rumah berdua dengan suami, lagi-lagi kalau rumah tu besar.
“Saya pernah ada pengalaman macam ni, memang trauma nak ambil pekerja. Lebih rela buat kerja sendiri dengan keluarga, baru puas hati tengok hasil, darah pun tak mendidih.
“Saya selalu pesan dekat pekerja, kalau penat berhenti rehat dulu. Jangan hanya tahu nak cepat habis tapi akhirnya hasil cincai. Kita dapat gaji ni kena pastikan berkat,” demikian kata warga maya.
Turut baca :
Leave a Reply