Gagal lapor rasuah RM1, 000, pegawai kanan syarikat penerbangan didakwa

Seorang pegawai kanan pengurusan fasiliti syarikat penerbangan mengaku tidak bersalah kerana gagal melaporkan suapan RM1, 000 bagi mempercepatkan urusan syarikat kejuruteraan, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Razif Hassan, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Bapa kepada dua anak itu didakwa telah diberikan suapan RM1,000 menerusi pindahan atas talian dalam akaun miliknya daripada seorang lelaki berusia 52 tahun.

Ini sebagai balasan untuk mempercepatkan urusan syarikat milik lelaki tersebut dengan Malaysia Airlines Group yang merupakan tempat tertuduh bekerja.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras pada 9 November 2023.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM100, 000 atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa SPRM Mohd. Yasri Yahya menawarkan jaminan RM2, 000 bersama seorang penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap awal bulan serta tidak menganggu saksi pendakwaan.

Peguam Shahidah Muslimah Roslan memohon jaminan dikurangkan kepada RM1, 000 memandangkan anak guamnya menanggung isteri dan dua anak berusia 3 dan 7 tahun.

“Tertuduh hanya meraih pendapatan RM3, 200 sebulan dan selepas ditolak segala perbelanjaan bulanan hanya tinggal RM1, 000,” katanya.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM1, 000 bersama seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan 29 November depan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*