Gagal lapor rasuah : Pegawai JPJ berdepan 40 tuduhan mengaku tidak bersalah

Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas 40 pertuduhan gagal melapor kesalahan pemberian rasuah berjumlah RM42,100, antara 2016 hingga 2019.

Tertuduh, Mohamad Sobri Osman, 39, minta dibicarakan selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai pemeriksa kereta motor Gred AB29 yang bertugas di JPJ Cawangan Kuala Ketil diberikan suapan RM42,100 melalui akaun Maybank miliknya, daripada Pengurus Pro-Star Transport Sdn Bhd, Saw Chee Leong antara 10 Mac 2016 hingga 8 Okt 2019.

Suapan itu diberikan kepada tertuduh supaya tindakan tidak diambil ke atas lori milik Pro-Star Transport Sdn Bhd yang mungkin akan melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapor Berita Harian.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25(1) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana gagal melaporkan kesalahan pemberian berkenaan kepada pihak SPRM.

Jika sabit kesalahan, Sobri boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan itu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Firdaus M Farouk.

Pihak pendakwaan kemudian meminta mahkamah menetapkan jaminan RM40,000 dikenakan ke atas tertuduh dan perlu menyerahkan pasport antarabangsanya serta melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan.

Firdaus dalam rayuannya meminta jaminan minimum berikutan anak guamnya perlu menyara isteri yang tidak bekerja dan dua anak berusia 12 dan 10 tahun yang masih bersekolah, selain berhadapan kemungkinan digantung kerja selepas ini.

Priscilla kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM27,000 berserta seorang penjamin dan perlu menyerahkan pasport antarabangsanya serta melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 22 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen. Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*