Gagal agih hasil jualan, pesara tembak isteri sebelum tembak diri sendiri

Gagal agih hasil jualan, pesara tembak isteri sebelum tembak diri sendiri.  Seorang pesara Pejabat Perhutanan Jerantut ditemukan maut apabila menembak isterinya sebelum menembak diri sendiri selepas bertengkar berhubung agihan hasil jualan tanah di Kampung Machang Raja Labu, Jerantut.

Ketua Polis Jerantut, Mazlan Hassan, berkata isteri pesara berusia 67 tahun itu ditemukan oleh jiran yang mendengar dua das tembakan disusuli jeritan meminta tolong dari bahagian belakang dapur rumah pasangan itu sekitar 8 pagi.

“Saksi kejadian menyatakan melihat mangsa terbaring kesakitan dan berdarah di pinggang lalu mengejarkan mangsa ke Hospital Jerantut.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia dan siasatan awal mendapati dia mengalami kecederaan di belakang rusuk kiri.

“Suami mangsa berusia 73 tahun pula ditemukan di rumah dalam keadaan terduduk bersama selaras senapang patah dengan kecederaan di leher sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan.

Mazlan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran selepas isterinya, juga seorang pesara Pejabat Perhutanan Jerantut, tidak memberikan agihan hasil jualan tanah kepada suaminya.

Beliau berkata, suami wanita itu mempunyai lesen senjata api dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*