Fitnah LGBT : PAS mohon batalkan saman oleh Mujahid

PAS memfailkan permohonan untuk membatalkan saman fitnah Naib Ketua Amanah Muhajid Yusof Rawa terhadap parti pembangkang itu.

Peguam bekas ahli parlimen Parit Buntar itu, Noorazmir Zakaria mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa PAS memohon untuk membatalkan tindakan sivil itu tanpa mendengar meritnya pada perbicaraan penuh.

Kata peguam itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 21 Jun depan untuk pendengaran permohonan selepas mengosongkan tarikh pendengaran hari ini.

Menurut salinan permohonan pembatalan yang dirangka di bawah Perintah 18 Peraturan 19(1)(a) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, PAS yang disaman melalui setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan – mendakwa Mujahid gagal mendedahkan sebarang sebab tindakan yang munasabah terhadap parti komponen Perikatan Nasional itu.

Pada 15 Disember tahun lalu, Mujahid mengheret PAS ke mahkamah kerana dakwaan bekas menteri agama itu menyokong golongan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender).

Tindakan sivil itu berkaitan satu hantaran di Facebook pada 16 Oktober lalu, yang merujuk ketika dia menjadi menteri di jabatan perdana menteri yang menjaga hal-ehwal agama ketika pentadbiran PH sebelum ini.

Pentadbiran Pakatan Harapan di bawah teraju perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berlangsung dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

Menerusi writ saman itu, plaintif memohon antara lain perintah mahkamah agar Takiyuddin atau PAS membuat permohonan maaf terbuka yang disiarkan dalam akhbar harian Melayu dan Facebook parti itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*