Fitnah : Amir tuntut Sanusi bayar ganti rugi RM10 juta

Menteri besar sementara Selangor Amirudin Shari telah menghantar surat tuntutan undang-undang kepada rakan sejawatannya dari Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung ucapan fitnahnya ketika berkempen di Jitra, Kedah baru-baru ini.

Ini selepas pemimpin PAS itu menuduh Amirudin terlibat dalam skandal bersama pengasas Kumpulan Berjaya Vincent Tan dalam projek pembersihan Sungai Klang.

Menurut pejabat Amirudin, surat itu disampaikan kepada Sanusi pada 7.36 malam.

Antara lain, Pengerusi PH Selangor itu mahu Sanusi menarik balik dan memohon maaf dalam tempoh 48 jam atas kenyataannya itu, serta membayar pampasan RM10 juta atas dakwaan “palsu dan berniat jahat.”

Semalam, Amirudin berkata dia akan meneruskan tindakan menyaman Sanusi bagi mempertahankan kredibilitinya sebagai menteri besar Selangor.

Sanusi ketika berucap pada majlis ceramah Jelajah Mega PN Best Sayangi Kedah Sejahtera di Dataran Darul Aman, Jitra, mendakwa wujud skandal antara Amirudin dan Tan, yang mahu melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang.

Amirudin berkata tuduhan Sanusi itu sebagai langkah terdesak untuk mengalihkan perhatian daripada skandalnya sendiri di Kedah.

Isu itu telah dijawab di DUN Selangor sebelum ini, jelas Amirudin lagi.

Berjaya Land Berhad juga menafikan tuduhan Sanusi dan menyifatkannya sebagai tuduhan, palsu, berniat jahat dan tidak berasas.

Pada Isnin, Tan mengeluarkan surat tuntutan kepada Sanusi, sambil menuntut permohonan maaf secara terbuka dan bayaran pampasan RM200 juta.

Sanusi enggan meminta maaf, mendakwa kes itu “sedang berkembang” dan lebih banyak dokumen akan didedahkan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*