Datin Seri Rosmah Mansor menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta terhadap seorang pemegang akaun TikTok yang didakwa telah memfitnahnya dalam satu video.
Menurut laporan Harian Metro, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu percaya bahawa video tersebut memusnahkan reputasi dan kredibilitinya, selain memberi gambaran negatif terhadap nilai Islam yang diamalkannya.
Tuntutan itu telah diserahkan kepada defendan, tetapi tidak mendapat sebarang balasan dan perkara ini dikatakan sendiri peguamnya, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff.
Mahkamah tetapkan 27 Mei untuk pendengaran
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Salleh, telah menetapkan 27 Mei depan sebagai tarikh pendengaran kes ini. Beliau juga mengarahkan pihak Rosmah untuk menghantar hujahan bertulis dua minggu sebelum tarikh perbicaraan.
Difahamkan, Rosmah telah memfailkan saman ini pada 19 September 2023, selepas video berkenaan dimuat naik di TikTok kira-kira enam bulan sebelum itu.
“Saya difitnah mengamalkan syirik” – Rosmah Mansor
Dalam samannya, Rosmah mendakwa bahawa video tersebut menuduhnya terlibat dengan amalan ilmu hitam, syirik, serta upacara membabitkan syaitan dan bomoh.
Beliau mendakwa kenyataan tersebut telah mencemarkan nama baiknya sebagai isteri Perdana Menteri keenam dan tokoh masyarakat, menyebabkan beliau diejek dan dihina oleh orang ramai.
Saman tersebut menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan terhadap pemilik akaun TikTok berkenaan.
Pemilik akaun TikTok gagal bela diri
Pada 28 Mei tahun lepas, mahkamah telah membenarkan permohonan Rosmah untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap defendan, Ku Muhammad Hilmie Ku Din, selepas individu tersebut gagal membela diri dalam saman tersebut.
Kini, mahkamah akan menentukan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh defendan kepada Rosmah dalam sesi pendengaran yang dijadualkan.
Baca juga :
Gara-gara minta cerai, suami simbah asid ke arah isteri dicekup
34 serpihan tulang manusia ditemui belakang kuarters JKR di Kuala Terengganu
Leave a Reply