FashionValet: SPRM beku akaun syarikat tudung Vivy, percepat siasatan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan akaun syarikat 30 Maple Sdn Bhd (30 Maple), sebagai sebahagian siasatan kerugian pelaburan dalam FashionValet.

Syarikat itu mengeluarkan produk tudung jenama mewah milik pasangan usahawan Vivy Yusof dan Fadzaruddin Shah Anuar.

“SPRM membekukan beberapa akaun syarikat (dikaitkan dengan FashionValet) dan akaun 30 Maple juga dibekukan,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM menurut BH selepas satu program di Kajang.

Sebelum ini sebuah portal mendedahkan FashionValet membeli 30 Maple Sdn Bhd yang dilaporkan dibeli pada 2018.

Transaksi itu berlaku pada tahun sama Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) melabur RM47 juta dalam FashionValet, turut dimiliki Vivy dan Fadzaruddin.

Azam sebelum ini dilaporkan berkata siasatan pihaknya turut menjurus sebuah syarikat yang dikenali sebagai 30 Maple.

Sementara itu, Azam berkata kertas siasatan kes FashionValet dijangka diserahkan kepada timbalan pendakwa raya (DPP) dalam tempoh dua minggu lagi.

“Saya mengarahkan pegawai siasatan mempercepatkan siasatan dalam tempoh dua minggu ini dan kita menambah empat lagi saksi selepas 14 saksi dipanggil.

“Selepas itu siasatan akan diserahkan segera kepada DPP untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Baca juga :

Awal bulan ini, SPRM memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan RM43.9 juta dialami Khazanah dan PNB dalam FashionValet.

Dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat 28 Okt lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

SPRM turut menggeledah kediaman pasangan berkenaan dan menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*