Enggan tubuh kerajaan perpaduan, AMANAH akan ‘langgar’ BN di Johor

Enggan tubuh kerajaan perpaduan, AMANAH akan ‘langgar’ BN di Johor. Amanah sasar tanding 20 daripada 56 kerusi DUN Johor pada pilihan raya akan datang kerana Barisan Nasional (BN) tidak mahu menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri itu.

Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad, berkata keputusan itu diambil sebagai tanda tidak bersetuju dengan kepimpinan BN negeri yang langsung tiada kemahuan untuk membentuk kerajaan perpaduan walaupun selepas menang PRK Mahkota baru-baru ini.

“Kami tegaskan sekali lagi bahawa keputusan Amanah Johor ini adalah disebabkan tiada rundingan langsung berkenaan kerajaan perpaduan dari pihak BN hingga tarikh kenyataan media ini dikeluarkan.

“Kami telah menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 12 ke 20 kerusi daripada 56 kerusi DUN yang berada di negeri ini sama ada kita bersama dengan BN atau bersama dengan gabungan asal Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan.

Dzulkefly berkata, Amanah Johor akan membawa keputusan itu kepada kepimpinan tertinggi parti dan PH.

Beliau berkata, dengan keputusan itu kemungkinan berlaku pertandingan tiga penjuru antara PH, BN dan Perikatan Nasional (PN) di Johor pada pilihan raya akan datang.

“Kami telah pun mengenal pasti antara DUN sasaran kami yang akan menjadi pilihan dalam mencapai objektif kami selain mengekalkan satu kerusi yang sedia ada iaitu DUN Simpang Jeram,” katanya.

Pada PRN Johor 2022, Umno menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH terdiri DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

PN pula menang tiga kerusi dengan Bersatu dua, manakala PAS satu kerusi. Sementara Muda juga menang satu kerusi.

Kerajaan perpaduan diwujudkan di peringkat persekutuan dan di Pahang, Perak serta Selangor oleh gabungan PH dan BN pasca PRU15.

Amanah Johor berulang kali menggesa kerajaan perpaduan ditubuhkan di negeri itu namun ditolak Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi.

Bulan lalu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook meminta sekutunya dalam PH berhenti menggesa Johor menubuhkan kerajaan perpaduan seperti negeri lain.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*