Enggan perceraian mencetuskan spekulasi liar, pelakon Nora Danish menyangkal dakwaan punca perpisahan dengan bekas suami, Nedim Nazri, mempunyai kaitan dengan masalah kewangan.
Ujar Nora atau Nora Mohd Danish Hanif, 42, dia dan Nedim berharap orang ramai tidak menimbulkan sebarang teori bagi mengekalkan keharmonian kedua-dua belah pihak.
“Saya harap anda semua dapat menghormati perpisahan kami dan tidak timbulkan sebarang teori. Ini kerana saya sangat mementingkan keharmonian kedua-dua keluarga.
“Saya sangkal dakwaan masalah kewangan menjadi punca perpisahan. Kami sudah duduk berasingan enam bulan dan cuba selamatkan rumah tangga dibina tujuh tahun lalu, kita hanya merancang, Allah yang menentukan.
“Kami percaya pasti ada hikmah terbaik pada pengakhiran cerita kami berdua,” katanya selepas prosiding perceraian malam tadi.
Menerusi video dalam sebuah portal berita, Nora serta Nedim hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, menaiki satu kenderaan.
Nedim, 41, melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin pada pukul 8.40 malam.
Menurut pelakon Puteri itu lagi, mereka mahu mengekalkan hubungan baik demi anak-anak bahkan sepakat mengambil keputusan berpisah secara baik.
“Kami memang baik, setiap manusia lalui ujian berbeza-beza. Tapi untuk capai tahap keredaan dan datang bersama ke mahkamah pada hari ini bukanlah mudah.
“Bagaimanapun, pengalaman sebelum ini mematangkan kami.
“Kami hanya ingin membesarkan anak-anak dengan kasih sayang dan positif. Harap anda semua doakan yang terbaik,” ujarnya.
Pada masa sama Nedim lebih selesa membiarkan bekas isterinya menjawab persoalan, manakala dirinya memilih tidak memberikan komen.
Terdahulu, Nora mengesahkan perkahwinannya dengan Nedim dibina sejak 2017 sedang bergolak.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan anak lelaki, Mohamed Neqayl yang kini berusia enam tahun.
Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan anak lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008.
Turut baca :
Leave a Reply